Pengarah “No Other Land” Hilang, Didakwa Ditangkap Tentera Israel
Pengarah bersama bagi dokumentari ‘No Other Land’ yang memenangi anugerah Oscar baru-baru ini didakwa telah diserang oleh sekumpulan individu bertopeng dan ditangkap oleh tentera Israel di Tebing Barat, pada Isnin.
Yuval Abraham, yang juga merupakan pengarah bersama filem berkenaan, menerusi hantaran di X mendakwa bahawa kumpulan individu bertindak bertindak menyerang Hamdan Ballal, lapor AFP.
“Mereka memukulnya dan dia juga mengalami kecederaan di kepala dan perutnya berdarah. Askar turut menyerang ambulans yang membawanya. Sejak itu, dia tidak dapat dikesan,” kata beliau.
Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Israel, ahli kumpulannya sempat merakam insiden yang berlaku terhadap pengarah warga Palestin itu di perkampungan Susiya, selatan Tebing Barat secara langsung.
Bagaimanapun, tentera Israel sedang mengesahkan maklumat tersebut ketika ditanya oleh wartawan AFP.
“No Other Land” terima pujian meluas sebagai antara dokumentari terbaik
Sebelum ini, Bernama melaporkan pengarah “No Other Land”, sebuah dokumentari yang menggambarkan kehidupan di sebuah perkampungan Tebing Barat di bawah pendudukan tentera Israel dan memenangi Anugerah Oscar bagi kategori Dokumentari Terbaik ke-97, menyeru dunia mengambil tindakan tegas bagi pihak rakyat Palestin.
“Kami menyeru dunia mengambil tindakan tegas untuk menghentikan ketidakadilan dan serangan terhadap rakyat Palestin,” kata pengarah bersama, Basel Adra, seorang aktivis Palestin dari Masafer Yatta di Tebing Barat dalam ucapannya.
“No Other Land” menerima pujian meluas sebagai antara dokumentari terbaik tahun lalu.
Meskipun mencapai kejayaan, dokumentari itu tidak mendapat tayangan meluas di pawagam Amerika Syarikat disebabkan oleh sensitiviti politik yang menyelubungi konflik Israel-Palestin, lapor NBC News yang memetik kenyataan pembuat filem itu.
Namun, filem itu tetap ditayangkan di pawagam bebas di beberapa bandar terpilih dan turut disediakan dalam format digital kepada pengundi Anugerah Akademi.
BACA: Permohonan Permit Hutan Simpanan Kekal Selangor Dibuka “Online” Bermula April
BACA: Dipaksa Dewasa Sebelum Usia, Realiti Anak Chow Kit Ini Buat Ramai Mengalir Air Mata
Sumber: The Guardian, AFP