Permohonan Permit Hutan Simpanan Kekal Selangor Dibuka “Online” Bermula April
Aktiviti mendaki (hiking) menjadi antara aktiviti riadah kegilaan ramai sejak dahulu lagi. Ia bukan sahaja menguji fizikal dan mental, namun memberikan peluang untuk menikmati keindahan alam semula jadi.
Selain memberi manfaat kesihatan seperti meningkatkan stamina dan kekuatan otot, aktiviti ini juga membantu dalam mengurangkan tekanan serta membina disiplin diri.
Dalam pada itu, mendaki juga boleh mengeratkan silaturrahim sesama para pendaki dan meningkatkan rangkaian sosial kepada individu yang mempunyai hobi yang sama.
Malah aktiviti ini turut menjadi medium untuk berinteraksi dengan dunia luar.
Mohon permit untuk ke HSK Selangor secara dalam talian
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) baru-baru ini mengumumkan bahawa permohonan permit bagi aktiviti rekreasi atau pendakian di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) perlu dimohon secara dalam talian bermula 1 April 2025.
Menerusi hantaran Laman Rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor di Facebook, permohonan boleh dilakukan secara dalam talian menerusi Selangor Forestry e-Permit System (SEFOREST).
Orang ramai diingatkan bahawa kegagalan mendapatkan permit untuk memasuki HSK merupakan satu kesalahan. Penceroboh boleh dikenakan denda sebanyak RM30,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Panduan mohon permit melalui laman sesawang SEFOREST
Bagi pengguna yang tidak mempunyai akaun, anda perlu mendaftar terlebih dahulu dan masukkan emel/nombor telefon, nama penuh dan nama pengguna.
Kemudian, sahkan akaun melalui emel atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
Anda perlu pilih Pejabat Hutan Daerah yang berkaitan dan lokasi pendakian serta tarikh aktiviti dilakukan. Untuk makluman, permohonan boleh dibuat seawal satu bulan atau selewat-lewatnya 48 jam sebelum tarikh dipilih.
Tambahan lagi, semak butiran permohonan dan klik hantar permohonan untuk mendapatkan kelulusan daripada JPNS.
Pembayaran adalah menerusi ‘online banking’ (FPX) dan perlu dibuat dalam tmepoh 24 jam setelah mendapat kelulusan.
Akhir sekali, permohonan yang diluluskan boleh disemak pada bahagian permohonan permit yang boleh dicetak atau disemak menerusi kod QR (Borang 6).
Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh mengirimkan emel kepada [email protected] atau hubungi +603-55447507.
“Sebarang maklumat palsu atau tidak memenuhi syarat yang berkaitan boleh menyebabkan permohonan ditolak atau tidak dapat dipertimbangkan,” kata JPNS lagi.
https://www.facebook.com/JPNSelangor/posts/pfbid02xjpjy7jv7hGfs5fXXfCRVpnUofgC1ifV1Le3dgo4jAbgKeLkBEGhgu3u9d7UvivDl
BACA: Cegah Kes Jenayah, PDRM Saran Orang Ramai Isi Borang Balik Kampung
Sumber: Laman Rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor via Facebook