Siakap Keli
lingkaran misteri
Kredit: Emma Florez

Penduduk Gempar Lingkaran Misteri Muncul Di Langit

Penduduk Gempar Lingkaran Misteri Muncul Di Langit

Amerika Syarikat – Penduduk di Alaska digemparkan dengan kemunculan lingkaran misteri berwarna biru pucat di langit pada waktu malam minggu lalu, lapor Daily Mail.

Lingkaran yang muncul ketika pembentukan Northern Lights itu menimbulkan tanda tanya, namun penjelasan di sebaliknya bukan sesuatu yang luar biasa.

Fenomena tersebut merupakan lebihan bahan api yang dilepaskan daripada salah sebuah roket SpaceX milik Elon Musk. Roket berkenaan dilancarkan di California tiga jam sebelum kemunculan lingkaran itu.

Terdahulu, fenomena ini pernah berlaku di Hawaii pada Januari dan New Zealand pada musim panas lalu.

Ahli fizik angkasa yang juga profesor penyelidik bersekutu di Institut Geofizik Universiti Alaska Fairbanks, Dr Don Hampton berkata, kadangkala roket mengandungi bahan api yang perlu dibuang.

“Apabila mereka buat begitu di altitud yang tinggi, bahan api berubah menjadi ais. Jika ia berlaku pada waktu siang, dan anda berada di tempat yang gelap di bumi, anda akan nampak seperti satu awan yang besar, kadangkala berbentuk lingkaran,” jelasnya.

Untuk pengetahuan, roket Falcon 9 SpaceX berlepas dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg, California pada Jumaat malam. Lingkaran tersebut kelihatan begitu besar di Alaska berikutan pelancaran roket itu merupakan pelancaran kutub.

Kira-kira selepas tiga jam pelancaran, satu lingkaran muncul disebabkan wap air di dalam cecair ekzos roket tersebut.

Pakar turut mengesahkan lingkaran seperti itu akan muncul di langit malam apabila roket melepaskan bahan api yang tidak digunakan selepas pelancaran. Apabila bahan api dilepaskan, ia akan membeku dan menjadi kristal berbentuk lingkaran yang kemudiannya diterangi dengan cahaya matahari.

Dalam kejadian di Hawaii, fenomena lingkaran misteri berwarna biru itu muncul apabila bahagian atas salah satu roket Falcon 9 SpaceX melepaskan bahan api selepas pelancaran.

Biarpun kejadian tersebut jarang dilihat, Dr Hampton akui beliau pernah melihat kejadian tersebut berlaku sebanyak tiga kali.

Terdahulu, lingkaran awan seperti itu pernah tular apabila berjaya dirakam oleh kamera seluruh langit milik institut tersebut menggunakan kaedah fotografi selang masa.

“Gambar lingkaran itu menyebabkan kekecohan di Internet,” ujar Dr Hampton.

BACA: Fenomena Luar Biasa Di Angkasa Lepas Pada Tarikh Keramat 31 Ogos 1957

BACA: Ini Rupanya Bentuk Anak Bulan Yang Dicerap

Sumber: Daily Mail

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.