Penampakan cahaya terang di ruang udara Sabah yang tular baru-baru ini disahkan berpunca daripada aktiviti pelancaran roket Long March 12 milik China.
Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa roket tersebut dilancarkan dari Hainan International Commercial Launch Center di Wenchang, Hainan pada jam 4.24 pagi waktu Malaysia.
MYSA Sahkan Cahaya Terang Roket China
MYSA turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima maklumat awal mengenai laporan penampakan cahaya terang itu sebelum mengesahkan ia mempunyai kaitan dengan aktiviti pelancaran roket di Hainan.
Dalam kenyataan sama, MYSA berkata pihaknya menerima makluman daripada Agensi Angkasa Filipina (PhilSA) berkaitan kebarangkalian serpihan objek daripada aktiviti pelancaran itu dianggarkan jatuh dalam zon jatuhan (Drop Zone) yang dikenal pasti di perairan kepulauan Filipina.
“Zon jatuhan yang dikenal pasti kira-kira 25 batu nautika dari Puerto Princesa, Palawan dan 19 batu nautika dari Tubbataha Reefs Natural Park,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan rasmi diterima mengenai penemuan sebarang serpihan objek daripada pelancaran tersebut di wilayah Malaysia.
Orang ramai disaran untuk segera melaporkan kepada Bahagian Penguasa Angkasa menerusi talian 03-8885 8685 atau e-mel [email protected] sekiranya terdapat sebarang penemuan berkaitan serpihan objek hasil pelancaran roket berkenaan.

