Siakap Keli
Pengarah "No Other Land"
Gambar: Basel Adra/Instagram

Pengarah “No Other Land” Dibebaskan Israel

Pengarah “No Other Land” Dibebaskan Israel

Pengarah bersama filem “No Other Land”, Hamdan Ballal, akhirnya dibebaskan selepas ditahan secara paksa oleh tentera Israel di perkampungan Susya, Tebing Barat.

Ketika dibebaskan, wajah Hamdan kelihatan lebam dan terdapat kesan darah pada pakaiannya akibat serangan tersebut.

Menurut peguamnya, Lea Tsemel, Hamdan dan dua lagi individu yang ditahan terpaksa bermalam di atas lantai di sebuah pangkalan tentera Israel dalam keadaan cedera parah.

Mereka hanya menerima rawatan ringan, dan Tsemel sendiri tidak dibenarkan bertemu anak guamnya selama beberapa jam selepas penahanan.

Didera, dihina di pangkalan tentera

Hamdan mendedahkan bahawa dia dipukul di hadapan rumahnya sebelum ditahan.

Dia kemudiannya dibawa ke pangkalan tentera dalam keadaan mata ditutup selama 24 jam, dipaksa tidur di bawah penghawa dingin yang sejuk membeku.

“Seluruh badan saya terasa sakit. Saya dengar tentera Israel mentertawakan saya. Mereka sebut tentang ‘Oscar’, tapi saya tak faham kerana saya tidak boleh berbahasa Hebrew,” katanya.

Peguamnya turut memaklumkan bahawa Hamdan dan dua lagi individu tersebut didakwa membaling batu ke arah penduduk Israel, namun mereka menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu.

Ketiga-tiga mereka kemudiannya dihantar ke sebuah hospital di bandar Hebron untuk menerima rawatan lanjut.

Serangan di tengah bulan Ramadan

Menurut isterinya, Lamia Ballal, kejadian berlaku sejurus selepas waktu berbuka puasa apabila tiga penduduk Israel menyerang suaminya di hadapan rumah mereka.

Gambar: AP

Hamdan menjadi sasaran serangan fizikal apabila cuba merakam tindakan sekumpulan penduduk Israel itu yang menyerang kampung mereka.

“Mereka memukul suami saya menggunakan buku lima dan belakang senapang di bahagian kepala. Ketika itu, sekumpulan penduduk Israel yang lain membaling batu ke arah rumah kami dan cuba memecah masuk melalui tingkap. Saya dan tiga anak kami hanya mampu bersembunyi dalam ketakutan,” kata Lamya.

Rakan pengarah, Basel Adra, mendedahkan bahawa beliau menerima panggilan cemas daripada Hamdan dan segera bergegas ke rumahnya.

Namun, setibanya di sana, beliau melihat Hamdan dibawa pergi oleh tentera Israel bersama seorang lagi individu.

Saksi juga mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan amaran kepada sesiapa yang cuba menghampiri rumah tersebut.

BACA: Pengarah “No Other Land” Hilang, Didakwa Ditangkap Tentera Israel

BACA: Wanita Cedera Ditimpa Basikal Dicampak Dari Tingkat 12 PPR

BACA: Seramai 5.4 Juta Bakal Menerima Bantuan SARA Mulai 1 April

Sumber: CNN, The Guardian

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.