Gempa Bumi: Myanmar Minta Bantuan Antarabangsa
Dilanda gempa bumi kuat, pemerintah Myanmar memohon bantuan kemanusiaan antarabangsa dan mengisytiharkan darurat di enam wilayah pada Jumaat, lapor AFP.
Permintaan itu dimaklumkan oleh jurucakap junta Myanmar, Zaw Min Tun kepada AFP.
“Kami mahu masyarakat antarabangsa memberikan bantuan kemanusiaan secepat mungkin,” katanya.
Beliau ditemui di sebuah hospital di Naypyidaw yang menempatkan mangsa-mangsa gempa. Turut bersamanya di hospital itu adalah ketua junta, Min Aung Hlaing.
Sememangnya amat jarang untuk melihat junta itu meminta bantuan antarabangsa dan ini berkemungkinan menandakan bahawa kemusnahan dan korban bencana tersebut berada dalam skala yang besar.
Sementara itu, junta dalam satu kenyataan berkata bahawa keadaan darurat berkuat kuasa di enam kawasan yang paling teruk terjejas. Antaranya Sagaing, Mandalay, Magway, timur laut Negeri Shan, Naypyidaw dan Bago.
Zaw Min Tun berkata derma darah diperlukan untuk pesakit di Mandalay, Naypyidaw dan Sagaing.
Terdahulu, gempa bumi 7.7 Magnitud dilaporkan menggegarkan Myanmar. Gegaran itu melanda barat laut bandar Sagaing di tengah Myanmar dan diikuti gempa susulan 6.4 magnitud beberapa minit kemudian.
Sementara itu, di Thailand, tiga orang disahkan maut dalam runtuhan bangunan pencakar langit akibat kesan gempa terbabit dengan 81 orang lagi hilang dan dipercayai terperangkap.
BACA: Gempa Bumi Kuat 7.4M Landa Myanmar, Gegaran Turut Dirasai Di Semenanjung
Pasukan penyelamat sedang meninjau keadaan runtuhan untuk menentukan cara selamat bagi mencari mangsa yang terperangkap.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berkata setiap bangunan di Bangkok perlu diperiksa untuk keselamatan, walaupun tidak jelas bagaimana ia akan dijalankan.
Gempa itu turut dirasai di seluruh wilayah dengan China, Kemboja, Bangladesh dan India semuanya melaporkan gegaran.
India, Perancis dan Kesatuan Eropah menawarkan bantuan, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pihaknya telah menggerakkan hab logistiknya di Dubai untuk menyediakan bekalan kecederaan trauma.
Untuk pengetahuan, Myanmar pernah dilanda enam gempa bumi kuat dengan 7.0 magnitud atau lebih. Ia berlaku antara tahun 1930 dan 1956 berhampiran Sesar Sagaing.
Malah, gempa bumi berkekuatan 6.8 magnitud di ibu kota purba Bagan di tengah negara itu telah mengorbankan tiga orang pada 2016. Bencana itu turut menumbangkan menara dan dinding kuil yang runtuh di destinasi pelancong terbabit.
Sumber: AFP