Lelaki Ditahan Disyaki Terlibat Insiden Pukul Guna Topi Keledar
MELAKA, 29 Mac (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di persimpangan masuk Taman Cheng Utama pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata suspek berusia 27 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari tadi di Balai Polis Batang Tiga, Klebang.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian pergaduhan itu disyaki berpunca akibat perselisihan faham melibatkan suspek dan mangsa berumur 52 tahun.
“Pergaduhan itu akhirnya membawa kepada insiden fizikal dan suspek bertindak memukul mangsa menggunakan topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Christopher berkata mangsa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk memberikan keterangan selain diberikan borang POL 59 untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Beliau berkata pihak polis sedang dalam proses merampas motosikal dan topi keledar serta pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah atau balai polis berdekatan,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi 17 saat yang merakamkan kejadian itu tular di Facebook.
Sumber: BERNAMA