Remaja Ditahan, Didakwa Rancang Serangan Di Beberapa Masjid
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura pada Mac lalu kerana didakwa merancang serangan terhadap umat Islam di beberapa masjid.
Penahanan itu diumumkan dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, seperti dilapor AFP.
Menurut ISD, remaja tersebut menjadikan Brenton Tarrant, pelaku serangan masjid di New Zealand pada 2019, sebagai “wira” dan bercadang untuk melancarkan serangan serupa.
Dia juga dikenal pasti sebagai individu yang menganggap dirinya sebagai “Supremasis Asia Timur”. Selain itu, dia telah memilih lima buah masjid di sekitar Singapura sebagai sasaran selepas solat Jumaat.
“Remaja ini mahu membunuh sekurang-kurangnya 100 orang Muslim supaya jumlahnya melebihi apa yang dilakukan oleh Tarrant. Dia juga mahu menyiarkan serangannya secara langsung,” kata Menteri Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam dalam sidang media.
Tambahnya, ketika ditahan, remaja itu telah beberapa kali cuba mendapatkan senjata api. Dia turut mengaku kepada ISD bahawa jika dia berjaya memperolehnya, dia akan melaksanakan serangan tersebut.
Siasatan lanjut turut mendedahkan bahawa remaja ini berhubung secara dalam talian dengan Nick Lee, 18, yang ditahan pada Disember lalu atas rancangan serangan yang serupa.
Kebimbangan terhadap radikalisasi dalam talian
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Singapura menyaksikan peningkatan kes remaja tempatan yang ditahan kerana didakwa terpengaruh dengan kandungan ekstremis dalam talian.
Pada 2024, seorang remaja lelaki ditahan kerana didakwa merancang serangan berinspirasikan kumpulan militan Daesh menggunakan senjata tajam di sebuah kawasan sibuk.
Dalam kenyataan yang sama, ISD turut memaklumkan bahawa seorang remaja perempuan berusia 15 tahun telah diletakkan di bawah perintah sekatan pada Februari.
Dia dilarang melakukan perjalanan ke luar negara dan tidak dibenarkan mengakses internet tanpa kelulusan pengarah ISD.
Menurut siasatan, remaja perempuan itu dikatakan menjalin sekurang-kurangnya lapan hubungan dalam talian antara Julai 2023 hingga Disember 2024. Hubungan tersebut melibatkan individu yang menyokong kumpulan militan Daesh di luar negara.
“Dia berikrar taat setia kepada chatbot Daesh, bercadang untuk bertempur dan mati demi kumpulan itu. Dia juga mencari penerbangan ke Syria sambil merancang untuk menyimpan wang bagi membiayai perjalanannya,” kata Shanmugam.
Beliau menegaskan bahawa peningkatan radikalisasi dalam kalangan remaja melalui internet adalah sesuatu yang membimbangkan.
“Radikalisasi kendiri boleh berlaku dengan sangat pantas. Dalam kes remaja perempuan ini, ia hanya mengambil masa beberapa minggu,” menurut ISD, yang turut menggesa masyarakat agar sentiasa peka terhadap tanda-tanda radikalisasi.
BACA: Harga Runcit Produk Petroleum Bagi Tempoh 3 Hingga 9 April
BACA: Projek Berhampiran Lokasi Kebakaran Saluran Gas Ada Kelulusan – Datuk Bandar
BACA: Chery Malaysia Sediakan 50 Kereta Untuk Kegunaan Mangsa Kebakaran
Sumber: AFP