Tiga Maut Terperangkap Dalam Lubang Pembentung Resort
Tiga pekerja maut manakala empat lagi rakan mereka terselamat selepas terperangkap di dalam lubang pembentung ketika menjalankan kerja pembersihan di sebuah tapak pembinaan resort baharu di Kampung Ibol, Sumpitan, pagi tadi.
Dua daripada mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 29 dan 37 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala, seorang lagi mangsa, seorang lelaki warga Indonesia, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.08 pagi.
Menurut beliau, sebaik menerima maklumat, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, ketua operasi dimaklumkan bahawa lima orang pekerja telah dibawa keluar oleh orang awam dan dihantar ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk menerima rawatan.
“Pasukan mendapati, terdapat dua orang pekerja masih lagi terperangkap di dalam lubang pembentung tersebut. Anggota segera memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) lengkap dengan alat pernafasan sebelum turun ke dalam pembentung untuk mengeluarkan mangsa.
“Anggota kemudiannya mengikat mangsa dengan menggunakan tali dan mangsa ditarik keluar dari lubang pembentung,” katanya.
Bagaimanapun, pemeriksaan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di lokasi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lubang pembentung berkenaan dianggarkan berukuran lima meter panjang, empat meter lebar dan sedalam 2.5 meter.
Operasi menyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanam II (KUP) Abdul Rahim Abdul Manan dan tamat sepenuhnya pada jam 12.25 tengah hari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood memaklumkan siasatan lanjut mengenai kejadian masih dijalankan.
BACA: Demonstrasi Tolak Pentadbiran Trump Bermula Di Seluruh Wilayah Amerika Syarikat
BACA: Israel Hentikan 70 Peratus Bekalan Air Ke Gaza – Majlis Perbandaran
BACA: Trump Mulakan Rundingan Tarif Dengan Tiga Negara – Laporan
Sumber: Astro Awani