China Akan Kenakan Tarif Barangan 125 Peratus Terhadap AS
China – Kerajaan China bakal mengenakan tarif barangan 125 peratus dengan mengabaikan kenaikan levi seterusnya daripada Donald Trump, lapor AFP.
Menurut laporan, ia berikutan perkara tersebut tidak lagi memberi faedah ekonomi terhadap pengimport yang membeli dari Amerika Syarikat (AS).
Beijing menolak taktik nekad-siaga Trump selepas seminggu kedua negara tersebut saling mengenakan halangan perdagangan hingga mengakibatkan gangguan pasaran. Perbuatan Trump itu disifatkan sebagai ‘jenaka’ dan ‘permainan nombor’.
Kerajaan negara republik itu mendakwa Trump mencetuskan kegawatan pasaran dengan mengenakan tarif besar-besaran terhadap seluruh dunia. China mendesak AS bertanggungjawab secara sepenuhnya terhadap gangguan pasaran yang berlaku.
Terdahulu, Trump telah mengenakan tarif besar-besaran termasuk levi yang terlalu tinggi terhadap ekonomi utama sebagai langkah memaksa pengilang berpangkalan di AS. Malah, langkah tersebut turut memaksa negara lain mengurangkan halangan perdagangan terhadap barangan dari AS.
Berikutan kekacauan pasaran yang berlaku minggu ini, Trump mengalah dengan usahanya mengubah sistem perdagangan global tersebut dan membekukan kebanyakan tarif selama 90 hari. Namun, tarif terhadap China dinaikkan kepada 145 peratus.
Beijing bertindak balas terhadap kenaikan itu dengan mengenakan levi 125 peratus berkuatkuasa pada Sabtu.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan China memaklumkan pihaknya akan mengabaikan tindakan AS seterusnya.
“Dengan tahap tarif sedia ada, penerimaan barangan eksport AS tidak mungkin diterima di China. Penguatkuasaan berulang tarif yang sangat tinggi oleh AS terhadap China telah menjadi permainan nombor yang tidak mempunyai makna praktikal dari segi ekonomi
“Jika AS terus bermain permainan nombor tarif, China akan mengabaikannya,” ujar jurucakap kementerian tersebut.
Sementara itu, Trump mengakui strateginya mengakibatkan berlaku ‘kos dan masalah peralihan’. Namun, beliau menolak adanya kegawatan pasaran global.
“Akhirnya ia akan menjadi satu perkara yang indah,” katanya.
Trump turut memuji Kesatuan Eropah (EU) dengan menyifatkan tindakan kesatuan tersebut yang tidak memberi tindak balas dengan tarif sebagai sesuatu yang ‘amat bijak’.
“EU bersedia untuk mengumumkan tindak balas namun kemudiannya mereka dengar tentang tindak balas kami terhadap China,” tambahnya.
Sumber: AFP
BACA: Tarif Trump: China Mungkin Bakal Haramkan Filem Hollywood
BACA: Presiden China Xi Jinping Adakan Lawatan Negara Ke Malaysia 15-17 April – Fahmi