Perbezaan Mesin Basuh Top Load Jenis “Belting” & “Direct Drive”
Memilih mesin basuh yang sesuai bukan sekadar soal jenama atau reka bentuk semata-mata.
Ia sebenarnya berkait rapat dengan keperluan harian dan keutamaan setiap isi rumah.
Setiap keluarga mempunyai keperluan pencucian dan tahap keutamaan yang berbeza.
Ada yang lebih mengutamakan ketahanan jangka panjang mesin, manakala ada juga yang memfokuskan kepada reka bentuk moden dan bergaya.
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan pilihan mesin basuh jenis bukaan atas (top load)—yang terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu jenis belting dan jenis direct drive.
Perbezaan antara dua mesin basuh ini bukan sahaja melibatkan struktur dalaman. Tetapi, ia turut memberi kesan besar terhadap prestasi, ketahanan serta kos penyelenggaraan jangka panjang.
Justeru, SK hari ini akan berkongsi perbandingan kelebihan dan kekurangan kedua-dua jenis mesin ini berdasarkan perkongsian pengguna TikTok, @abgletriqq.
Mesin basuh top load jenis belting
Mesin basuh jenis belting menggunakan tali sawat (belt) yang menghubungkan motor dengan dram cucian.
Tali sawat bertindak sebagai perantara yang menyerap hentakan dan tekanan antara motor dan dram.
Kelebihan
- Jika berlaku ketidakseimbangan atau cucian berat, tali sawat akan menyerap hentakan terlebih dahulu, sekali gus melindungi motor.
- Ini membantu memanjangkan jangka hayat motor mesin.
- Kos pembaikan lebih murah kerana penggantian tali sawat lebih mudah dan tidak membabitkan kerosakan dalaman motor.
Kekurangan
Operasi lebih bising dan menghasilkan getaran yang ketara, terutamanya semasa proses putaran laju.
Mesin basuh top load jenis direct drive
Berbeza dengan belting, mesin jenis direct drive mempunyai motor yang dipasang terus pada dram—tanpa menggunakan tali sawat.
Kelebihan
- Operasi lebih senyap dan stabil.
- Kurang getaran dan lebih jimat ruang kerana tiada tali sawat.
Kekurangan
- Beban cucian diletakkan terus ke atas motor, menyebabkan motor cepat haus jika mesin kerap digunakan secara berlebihan.
- Kerosakan biasanya melibatkan kedua-dua dram dan motor secara serentak, sekali gus menyebabkan kos pembaikan jauh lebih tinggi.
@abgletriqq Replying to @amierullaiman07 itulah perbezaan nya😊 #washingmachine #mesinbasuh #fyp
Sama ada anda memilih mesin basuh jenis belting atau direct drive, keputusan terbaik bergantung pada cara penggunaan dan keutamaan anda.
Semoga perkongsian ini membantu anda membuat keputusan yang lebih bijak sebelum membeli mesin basuh yang baharu.
BACA: Wanita Kongsi ‘Rahsia’ Perjalanan Ketika Belajar, Undang Sebak Netizen
BACA: Cetus Fenomena, Filem Blood Brothers: Bara Naga Raih 9.2 Juta Kutipan Dalam Dua Hari
BACA: Lelaki Tunjuk Sistem Makan Tengah Hari Sekolah Rendah Di Jepun
Sumber: @abgletriqq via TikTok