Ahli Politik Didakwa Tunjuk Senjata Api, Polis Jalankan Siasatan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan siasatan mengenai seorang ahli politik didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menunjukkan objek menyerupai pistol pada pemilihan jawatankuasa sebuah parti politik.
Ketua Polis Perak, Dato’ Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya menerima satu maklumat dari seorang lelaki tempatan yang menyatakan dirinya sebagai mangsa dalam insiden terbabit kira-kira jam 12.28 tengah hari pada 13 April lalu.
Berdasarkan siasatan awal, mangsa telah hadir ke Dewan Komuniti Tanjung Rambutan, Ipoh bagi memantau proses pemilihan jawatankuasa parti politik berkenaan.
Difahamkan, suspek iaitu ahli politik itu dipercayai melihat penyokong di pihak mangsa membuat halangan bagi mengelakkan orang ramai daripada masuk ke dewan.
Individu yang mempunyai maklumat boleh hubungi pegawai penyiasat
“Dalam kejadian tersebut, suspek didakwa telah mengeluarkan satu objek menyerupai pistol dari bahagian pinggang belakang badannya
“Lalu suspek menyerahkan objek tersebut kepada pembantu peribadinya yang berada di belakang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Noor Hisam menjelaskan tindakan suspek telah menimbulkan rasa takut terhadap mangsa dan rakannya yang turut berada di tempat kejadian.
Beliau berkata, ketika ini polis sedang merakam keterangan daripada saksi-saksi yang terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Anur Bin Salleh di talian 013-4003793 bagi membantu siasatan,” tambah beliau lagi.
Sehubungan itu, PDRM turut menasihati orang ramai untuk tidak melakukan sebarang dakwaan atau ulasan yang tidak tepat yang boleh mengganggu proses siasatan.
BACA: Kelantan Sumbang RM500,000 Bantu Mangsa Kebakaran Di Putra Heights
https://www.facebook.com/polisperak/posts/pfbid02FtjvyEBkWF4ZTNdh5wofKyRdABKku4WFvxQ9WR1ewYRAfwdgmyPec7muG2Y5q1pvl
BACA: Mekanik Dedah Cara Paling Mudah Periksa “Brake Pad” Kereta
Sumber: Polis Perak via Facebook