Sambil Pekena Nasi Kandar, Wartawan China Borak Dalam Bahasa Melayu
Kedatangan Presiden China, Xi Jinping di Malaysia sejak Selasa mendapat sambutan mesra dari pelbagai pihak. Lawatan negara yang berlangsung selama tiga hari itu menyaksikan ketibaan pesawat yang membawa Jinping mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 6.48 petang.
Hari ini, Jinping menerima sambutan negara di Istana Negara atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, lapor Bernama.
Dalam kesibukan para wartawan membuat liputan setiap pergerakan Jinping, seorang wartawan warga China sempat memuat naik rakaman perjalanan peribadinya. Rakaman tersebut menunjukkan wartawan yang menggunakan nama Husna Liang Liang singgah di salah sebuah restoran nasi kandar bersama rakan-rakan.
“Wartawan China makan nasi kandar di Putrajaya,” ulasnya menerusi rakaman berkenaan.
Rakaman berdurasi hampir 2 minit itu menunjukkan lima orang wartawan lain yang memilih pelbagai lauk-pauk mengikut cita rasa masing-masing.
Menariknya, kesemua enam orang wartawan ini kedengaran fasih berbahasa Melayu. Malah, mereka turut menggunakan nama panggilan berunsurkan budaya Melayu seperti Latifah dan Fadil .
“Saya pesan (hidangan) ini saya rasa dipanggil nasi kandar. Ada daging, ada sotong, ada sayur,” ujar salah seorang wartawan yang menggunakan gelaran Fadil.
Seorang lagi wartawan warga China yang menggunakan nama gelaran Rahman memilih kuah campur, sayur, sotong, telur masak kari dan ayam goreng. Begitu juga dengan seorang lagi wartawan yang menggunakan nama Satria.
“Saya ambil nasi kandar, makan banyak ya. Ada kambing, sotong, ayam dan sayur-sayuran. Nanti kan ada temu bual bersama Perdana Menteri, jadi saya nak jaga diri supaya sentiasa penuh dengan semangat, penuh tenaga. Jadi perlu banyak makan,” ujarnya.
Bagi mendapat pengalaman berbeza, wartawan yang memakai nama gelaran Latifah pula memesan nasi lemak dengan lauk ayam goreng.
“Sebenarnya kami semua media dari China dan hari ini kami ada membuat liputan di Putrajaya. Kami memilih untuk makan nasi kandar di sini sebagai kenangan masing-masing untuk dibawa pulang,” jelas Husna.
Ditanya oleh netizen mengenai nama-nama mereka, Husna berkata gelaran nama itu diberikan oleh pensyarah ketika belajar Bahasa Melayu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya kagum dengan kebolehan mereka berbahasa Melayu. Malah, mereka turut disambut mesra oleh warga Malaysia.
@husnaliangliang Semuanya bercakap bahasa dan order hidangan Malaysia!😋 Kumpulan wartawan China yang bercakap Bahasa Melayu dah sampai Putrajaya untuk wawancara dengan PM! Kena hati-hati ketika makan, jangan kotorkan suit haha! #cinacakapMelayu #hidanganMalaysia #nasikandar #HusnaLiang #fyp
Sumber: TikTok Husna Liang Liang
BACA: Kenang Jasa Tun Abdullah, Asyraf Cadang Tukar Nama MRSM Kepala Batas
BACA: Amanda Nguyen Jadi Wanita Vietnam Pertama Naik Ke Angkasa