Ini Sebab Kemboja Negara Penting Bagi China
Presiden China, Xi Jinping kini berada di Kemboja bagi mengakhiri lawatan rasminya ke tiga negara ASEAN, yang turut melibatkan Vietnam dan Malaysia.
Lawatan dua hari ke negara itu menandakan kunjungan pertama beliau ke Kemboja sejak 2016. Ini sekali gus mengukuhkan lagi hubungan mesra dua hala yang sedia terjalin erat antara Beijing dan Phnom Penh.
Kemboja dianggap sebagai rakan strategik utama China di rantau ini, dengan hubungan yang melangkaui sekadar perdagangan dan pelaburan.
Malah, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet sendiri menyifatkan China sebagai rakan kongsi kelas pertama, yang memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara tersebut.
Sambutan hangat ketibaan Presiden China di Phnom Penh
Ketibaan Xi di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh disambut meriah oleh Raja Kemboja, Norodom Sihamoni. Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Perdana Menteri Hun Manet dan Presiden Senat, Hun Sen.
Kehadiran lebih 20,000 rakyat tempatan dan wakil masyarakat China turut menyerikan suasana dengan kibaran bendera dan sepanduk bertulis “Hidup Persahabatan China-Kemboja”.
Dalam kenyataan rasmi selepas ketibaan, Xi menyatakan kegembiraannya dapat kembali ke Kemboja, khususnya bersempena sambutan Tahun Baru Khmer.
Lawatan Xi membawa simbolik tersendiri apabila berlangsung pada ulang tahun ke-50 pengambilalihan kuasa oleh Khmer Rouge pada 17 April 1975.
Meskipun sejarah mencatatkan bahawa China pernah menjadi penyokong utama rejim tersebut, isu itu jarang sekali disentuh secara terbuka oleh kedua-dua negara itu hari ini.
Sebaliknya, fokus lebih diberi kepada pembangunan masa kini dan masa depan yang lebih cerah.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan selamat sejahtera kepada rakyat Kemboja dan memuji pencapaian pesat negara itu di bawah strategi pembangunan nasional yang dikenali sebagai Strategi Pentagonal.
Kemboja sentiasa menjadi keutamaan dalam dasar diplomasi serantau China
Xi turut menegaskan bahawa Kemboja sentiasa menjadi keutamaan dalam dasar diplomasi serantau China.
Beliau menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha Kemboja mengekalkan autonomi strategik serta membangunkan negaranya mengikut acuan sendiri.
Hubungan kedua-dua negara juga disebut sebagai “komuniti berkongsi masa depan” yang telah terbukti kukuh walaupun berdepan perubahan geopolitik dunia.
Untuk info, Kemboja kini muncul sebagai antara destinasi utama pelaburan China di Asia Tenggara, dengan nilai dagangan antara kedua-dua negara mencecah lebih AS$15 bilion pada 2024.
Nilai tersebut mewakili hampir 30 peratus jumlah perdagangan keseluruhan Kemboja.
Projek-projek mega seperti Lapangan Terbang Angkor Siem Reap dan Lebuhraya Lingkaran Phnom Penh, yang dibiayai China dan dinamakan sempena Xi, menjadi bukti nyata hubungan erat yang terus berkembang.
Perdagangan jadi fokus utama
Perdagangan dijangka menjadi fokus utama dalam siri perbincangan Xi, semasa lawatan rasminya ke Kemboja.
Negara itu kini berdepan kadar tarif antara yang tertinggi yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS).
Selain tarif sejagat sebanyak 10 peratus yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump, Kemboja juga menghadapi ancaman cukai eksport ke AS setinggi 49 peratus sebaik sahaja tempoh tangguhan selama 90 hari tamat.
Dalam pada itu, perbincangan Xi juga melibatkan isu serantau dan antarabangsa, dengan beberapa perjanjian kerjasama dijangka akan dimeterai dalam pelbagai sektor.
Kedua-dua negara menekankan kepentingan memperkukuh hubungan, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
Penekanan ini menjadi lebih penting dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan perdagangan dengan AS.
Xi turut menegaskan keperluan menolak amalan unilateral dan dasar perlindungan serta mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala.
Dalam konteks ini, China mahu dilihat sebagai sumber kestabilan dan kepastian ketika negara-negara Asia Tenggara bergelut menghadapi kesan tarif yang dikenakan oleh AS.
BACA: Presiden China Xi Jinping Diberi Sambutan Negara Di Istana Negara
BACA: PM Anwar, Presiden Xi Saksi Pertukaran MoU Majukan Kerjasama Malaysia-China
BACA: Lawatan Xi ke Vietnam Undang Reaksi Mengejutkan Trump
Sumber: State Council of the People’s Republic of China, AP News, Business Inquirer