Siakap Keli
rayuan syed saddiq tangguh
Kredit: Astro Awani

Kes Dana Armada: Hakim Tangguh Keputusan Rayuan Syed Saddiq

Kes Dana Armada: Hakim Tangguh Keputusan Rayuan Syed Saddiq

Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 24 April bagi keputusan kes bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung sabitan dan hukuman berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lapor Astro Awani.

Penangguhan tersebut diputuskan bagi proses pengurusan kes rayuan yang mengetepikan sabitan dan hukuman penjara selama tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta terhadap Ahli Parlimen Muar itu. Pengumuman penangguhan dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dengan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebagai pengerusi.

“Kami perlu masa untuk meneliti hujahan, dan menetapkan 24 April sebagai tarikh pengurusan kes dan tarikh keputusan,” maklumnya.

Menerusi sidang media selepas tamat prosiding hari ini, Syed Saddiq tampil memberi penjelasan berkenaan pertuduhan yang dihadapi.

“Saya nak rumuskan semudah yang mungkin. Pertama sekali, bagi pengeluaran dana Armada berjumlah RM1 juta. Jelas tidak ada satu sen pun diambil oleh saya, pergi ke akaun saya, atau dibelanjakan untuk tujuan peribadi tetapi dibelanjakan bagi program-program kebajikan parti.

“Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, di mana ada yang kata (pertuduhan) RM120 ribu masuk ke akaun saya, dan selepas itu RM100 ribu masuk ke akaun ASB. Tadi kita sendiri sudah dengar bahawa sebelum makan malam mengumpul dana itu dibuat pun sudah ada pengeluaran duit saya sendiri daripada akaun ASB saya untuk tujuan perbelanjaan kempen,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan terdapat bukti jelas menunjukkan perbelanjaan yang telah dikeluarkan.

“Pada masa yang sama, dengan bukti-bukti resit yang jelas bahawa saya telahpun membelanjakan melangkaui RM170 ribu, melebihi RM120 ribu yang telah kita berjaya kumpul,” tambah ahli parlimen tersebut.

Biarpun begitu, beliau jelas menyatakan penghormatan dan kepercayaan terhadap institusi kehakiman negara.

“Sebagai salah seorang yang menghormati sistem perundangan negara, kita meletakkan kepercayaan di atas institusi kehakiman, dan hakim-hakim yang tadi sudah mendengar rayuan kami,” maklumnya.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan telah menangguhkan prosiding pada 20 Mac berikutan faktor kesihatan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Sumber: Astro Awani (1) (2)

BACA: Kes Dana Armada: Syed Saddiq Tiba Di Mahkamah Rayuan

BACA: Kronologi Kes Syed Saddiq Berhubung Dana Armada

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.