Siakap Keli
Pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Kelapa Segar Ke China
Gambar Hiasan

Pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Kelapa Segar Ke China

Pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Kelapa Segar Ke China

Putrajaya, 17 April 2025 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Kelapa Segar dari Malaysia ke Republik Rakyat China (RRC). Protokol tersebut telah dimeterai oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama H.E. Sun Meijun, Menteri General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC). Dokumen Protokol tersebut telah diserah terima antara YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan H.E. Ouyang Yujing, Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Persetujuan Antara YAB Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Republik Rakyat China yang diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam dengan disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dan Presiden Xi Jinping.

Melalui pemeteraian ini, aspek biosekuriti bagi pengeksportan kelapa segar dari Malaysia ke RRC akan diperkukuh menerusi syarat-syarat baharu seperti keperluan pendaftaran ladang dan fasiliti pembungkusan dengan pihak GACC, pengurusan ladang berlandaskan Good Agricultural Practices (GAP) dan Integrated Pest Management  (IPM), kaedah pembungkusan, pemeriksaan sebelum eksport, serta pemeriksaan dan kuarantin di pintu masuk di RRC. Syarat-syarat ini juga menggalakkan amalan pertanian yang baik dan sistematik dalam kalangan pengusaha kelapa bagi meningkatkan kebolehpasaran buah kelapa Malaysia ke peringkat global.

Untuk rekod, pada tahun 2023, eksport kelapa segar dari Malaysia ke seluruh dunia mencatatkan kuantiti sebanyak 19,529 tan metrik dengan nilai berjumlah RM59.7 juta. Kuantiti eksport ini adalah sebanyak 3% daripada pengeluaran kelapa di dalam negara pada tahun 2023 iaitu sebanyak 623,662 tan metrik dengan kawasan tanaman berhasil seluas 67,596 hektar. Antara 5 negara pengimport terbesar kelapa Malaysia pada tahun 2023 adalah Singapura, United Kingdom, Pakistan, RRC dan Turkiye. Kuantiti eksport kelapa segar dari Malaysia ke RRC pada tahun 2023 adalah sebanyak 814 tan metrik bernilai RM 4.99 juta.

KPKM yakin pelaksanaan protokol ini akan meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing kelapa segar Malaysia di pasaran RRC di samping mengukuhkan industri tanaman buah kelapa tempatan di mana akan membuka peluang kepada para pengusaha tanaman kelapa di seluruh negara. Melalui protokol ini juga, pengusaha kelapa yang berdaftar dan mendapat kelulusan daripada GACC berdasarkan pematuhan kepada syarat-syarat dalam Protokol tersebut dibenarkan untuk mengeksport buah kelapa segar ke negara China.

Pemain industri yang berminat untuk berdaftar sebagai pengeksport buah kelapa segar ke China boleh menghubungi Jabatan Pertanian (DOA) dengan mengemukakan emel kepada [email protected] dan [email protected].

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.