Siakap Keli
bapa lencana jalur gemilang
Kredit: Facebook Ng Chee Kean

Bapa Tetapkan 3 Syarat, Tegas Agar Anak Jaga Lencana Jalur Gemilang

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bapa Tetapkan 3 Syarat, Tegas Agar Anak Jaga Lencana Jalur Gemilang

Hari ini, bermula detik bersejarah apabila para pelajar institusi pendidikan seluruh negara mula memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam masing-masing. Pemakaian lencana ini dikuatkuasakan bermula hari ini oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bukan hanya tertakluk kepada pelajar sekolah rendah dan menengah kelolaan kerajaan, malah mereka yang sedang menuntut di sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia turut diwajibkan memakai lencana ini.

Meninjau keadaan, seorang bapa kepada dua orang pelajar sekolah rendah berkongsi pengalaman hari pertama anak-anak yang digelar Upin dan Ipin di laman Facebook. Ketika ditanya SK, Encik Ng Chee Kean mengesahkan kedua anaknya berusia sembilan dan 10 tahun, bukan kembar.

Menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa yang memakaikan lencana Jalur Gemilang tersebut, lelaki berkenaan menggunakan peluang ini mengajar anak-anak untuk berdisiplin. Malah, Encik Ng turut merebut peluang ini menerapkan sikap bertanggungjawab dalam jiwa anak-anak.

“Hari ini hari pertama Upin Ipin pakai lencana Jalur Gemilang. Papa sudah tentukan beberapa syarat bila Jalur Gemilang ada di dada kita.

“Pertama, tak boleh bagi kotor. Lencana tak boleh sentuh lantai. Baju tak boleh buang sana sini lagi.

“Kedua, bila ada Jalur Gemilang di dada, keutamaan bahasa akan diberikan kepada Bahasa Melayu. Bila keluar kelas pergi beli makan di kantin, jumpa mak cik, pak cik Cina, semua wajib guna Bahasa Malaysia. Bagi ucapan dan salam pun dalam BM bila jumpa kawan-kawan walaupun di sekolah Cina,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, Encik Ng turut menggunakan peluang ini menaikkan semangat anak-anak untuk memperbaiki penggunaan Bahasa Melayu mereka.

“Ketiga, Bahasa Melayu awak perlu bertambah baik. Merosot atau tidak bertambah baik, saya akan keluarkan lencana. Nanti cikgu awak mungkin tanya, mana lencana awak? Awak boleh jawab Papa pegang. Cikgu akan tanya kenapa dia pegang? Awak jawab pada cikgu sebab Bahasa Malaysia saya kurang baik. Saya boleh jumpa Guru Besar sekolah jika perlu,” tambahnya.

Menurut lelaki tersebut, syarat ini perlu dipegang dan dilaksanakan oleh anak-anaknya.

“Bukan sekadar pakai lencana sahaja. Perlu tahu hikmah dan tanggungjawabnya sebagai seorang murid di Sekolah Kebangsaan,” ujarnya.

Sumber: Facebook Ng Chee Kean

BACA: Pelajar Perlu Pakai Lencana Jalur Gemilang, Diberi Secara Percuma

BACA: Cara Pakai Lencana Jalur Gemilang Dengan Betul

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.