Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 bukan sekadar mencerminkan pencapaian akademik, sebaliknya menjadi peringatan bahawa peranan keluarga amat penting dalam memastikan perkembangan anak-anak terus diberi perhatian.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dapatan PISA menunjukkan sokongan keluarga terhadap pembelajaran anak-anak Malaysia masih perlu diperkukuhkan, terutama ketika golongan itu berdepan cabaran baharu seperti buli siber.
Katanya, isu berkenaan turut dilihat daripada sudut seorang ibu yang mempunyai kebimbangan sama terhadap perkembangan anak-anak.
“Apabila PISA bercakap tentang anak-anak yang cekal, saya teringat anak-anak saya sendiri. Ada hari mereka pulang dengan cerita yang menggembirakan. Ada hari mereka diam.
“Ada hari kita sebagai ibu tahu ada sesuatu yang tidak kena hanya dengan melihat wajah mereka,” katanya.
Menurut Fadhlina, kesibukan ibu bapa dalam mengejar kehidupan kadangkala menyebabkan mereka terlepas peluang untuk benar-benar mendengar dan memahami perkara yang dilalui anak-anak.
Jelasnya, perkara mudah seperti meluangkan masa bertanya tentang hari mereka, mendengar cerita atau memberikan sokongan selepas melalui hari yang sukar amat bermakna dalam perkembangan anak.
“Zaman anak-anak kita menjadi kecil tidak lama. Suatu hari nanti, mereka tidak lagi berebut mahu bercerita tentang sekolah.
“Dan mungkin ketika itu kita mempunyai lebih banyak masa. Cuma mereka sudah tidak memerlukan kita seperti dahulu,” ujarnya.
Cabaran Anak-Anak Semakin Kompleks
Dalam pada itu, Fadhlina berkata pencapaian PISA turut menunjukkan anak-anak Malaysia mempunyai rasa ingin tahu dan kecekalan yang tinggi.
Bagaimanapun, katanya, mereka kini membesar dalam dunia yang semakin kompleks, khususnya ruang digital yang turut mendedahkan mereka kepada ancaman seperti buli siber.
“Sebagai Menteri, saya melihatnya sebagai cabaran kepada sistem pendidikan. Sebagai ibu, saya terfikir, bagaimana kalau itu anak saya?
“Bagaimana kalau dia sedang terluka tetapi saya terlalu sibuk untuk menyedarinya?” katanya.
Beliau menegaskan, usaha meningkatkan prestasi pendidikan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kedudukan Malaysia dalam penilaian antarabangsa.
Sebaliknya, katanya, pencapaian dalam Matematik perlu terus diperbaiki, manakala peningkatan dalam bidang Membaca dan Sains perlu diperkukuhkan.
“PISA bagi saya bukan sekadar tentang Malaysia nombor berapa. Akhirnya, kita sedang bercakap tentang kehidupan anak-anak kita.
“Saya memikul amanah menjaga pendidikan jutaan anak Malaysia. Tetapi apabila pulang ke rumah, saya tetap seorang ibu dengan kerisauan yang sama seperti ibu-ibu lain,” katanya.
Tambah beliau, ibu bapa perlu memastikan kesibukan menyediakan masa depan anak-anak tidak menyebabkan mereka mengabaikan keperluan untuk hadir dalam kehidupan anak-anak pada masa kini.
“Anak-anak tidak hanya memerlukan sekolah yang baik. Mereka memerlukan kita,” katanya.

