Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bukan Semua Bermaksud Warganegara, Ini Status & Fungsi Berbeza 5 Jenis Kad Pengenalan Dikeluarkan JPN

Jenis Kad
Kredit: Bernama

Bila sebut sahaja kad pengenalan, kebanyakan daripada kita mungkin terus terbayangkan MyKad berwarna biru yang dibawa hampir setiap hari.

Namun, tahukah anda bahawa bukan semua kad pengenalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan pemegangnya merupakan warganegara Malaysia?

Malah, terdapat beberapa jenis kad pengenalan yang mempunyai warna, status dan fungsi berbeza mengikut kategori pemegang.

Jenis Kad Yang Dikeluarkan JPN

Menerusi perkongsian JPN, sekurang-kurangnya terdapat beberapa jenis kad yang mungkin pernah kita lihat, tetapi tidak semua tahu apa sebenarnya perbezaan antara kad-kad ini.

MyKad (Untuk warganegara Malaysia)

Ini tentunya kad yang paling biasa kita lihat.

MyKad merupakan kad pengenalan bagi individu yang berstatus warganegara Malaysia.

Selain maklumat peribadi pemegang, MyKad turut mempunyai beberapa ciri keselamatan antaranya cetakan pelangi, corak guilloche, nombor MyKad dan imej menggunakan tulisan laser serta pelindungan anti-salinan.

Menariknya, MyKad juga dilengkapi cip yang menyimpan maklumat tertentu pemegang kad.

MyPR (Pemastautin tetap, tetapi bukan warganegara)

Kalau pernah terlihat kad pengenalan berwarna kemerahan, ia mungkin MyPR.

MyPR diberikan kepada mereka yang mempunyai status pemastautin tetap di Malaysia, namun pemegangnya bukan warganegara Malaysia.

Menurut JPN, kelayakan bagi kad ini adalah berdasarkan permit masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Jadi, walaupun seseorang mempunyai kad pengenalan Malaysia, ia tidak semestinya bermaksud individu tersebut mempunyai taraf kewarganegaraan.

MyKAS (Status kewarganegaraan belum ditentukan)

Satu lagi kad yang mungkin kurang dikenali ramai ialah MyKAS, iaitu Kad Pengenalan Sementara.

Kad ini dikeluarkan kepada individu yang dilahirkan di Malaysia tetapi taraf kewarganegaraannya masih belum dapat ditentukan.

Menurut JPN, tempoh sah MyKAS adalah selama lima tahun daripada tarikh kad dikeluarkan.

Ia boleh dikenali menerusi warna kehijauan yang membezakannya daripada MyKad dan MyPR.

MyTentera (Khas untuk anggota ATM)

Bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang berkhidmat pula, mereka mempunyai kad pengenalan khas dikenali sebagai MyTentera.

Kad ini dikeluarkan oleh JPN khusus kepada anggota ATM yang masih dalam perkhidmatan.

Menariknya, cip serta fungsi MyTentera adalah sama seperti MyKad dan boleh digunakan bagi urusan rasmi kerajaan serta swasta.

MyPOCA (Fungsi berbeza daripada MyKad biasa)

Selain empat kad tadi, JPN turut menyenaraikan MyPOCA.

Nama POCA merujuk kepada Prevention of Crime Act atau Akta Pencegahan Jenayah.

Menurut penerangan JPN, kad ini mempunyai fungsi dan kategori pemegang yang berbeza daripada MyKad biasa serta digunakan bagi membantu aspek pemantauan dan kawalan keselamatan oleh pihak berkuasa.

Warna kad bukan sekadar hiasan

Perbezaan warna dan nama pada setiap kad pengenalan ini bukan sekadar reka bentuk.

Ia sebenarnya membantu membezakan status serta kategori pemegang kad, sama ada seseorang itu warganegara, pemastautin tetap, mempunyai status kewarganegaraan yang belum ditentukan, anggota tentera ataupun berada dalam kategori khusus lain.

Jadi, selepas ini kalau terlihat kad pengenalan dengan warna yang berbeza daripada MyKad biasa, jangan terus pelik.

Setiap satunya mempunyai fungsi dan status tersendiri yang ditetapkan oleh JPN.

Intipati
  • MyKad dikeluarkan kepada warganegara Malaysia dan mempunyai cip serta ciri keselamatan tertentu.
  • MyPR diberikan kepada pemastautin tetap, manakala MyKAS untuk status kewarganegaraan belum ditentukan.
  • MyTentera dikhaskan untuk anggota ATM, sementara MyPOCA mempunyai fungsi pemantauan keselamatan tertentu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan