Urusan cetakan MyKad di seluruh negara dijangka mengalami gangguan sementara mulai hari ini hingga 7 September susulan proses peralihan kepada struktur MyKad Generasi Baharu.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan gangguan berkenaan melibatkan urusan cetakan MyKad sepanjang tempoh peralihan daripada kad pengenalan sedia ada kepada generasi baharu.
Sehubungan itu, JPN menasihatkan orang ramai yang tidak mempunyai keperluan mendesak untuk membuat penukaran atau gantian MyKad supaya menangguhkan urusan berkenaan buat sementara waktu.
“Bagi permohonan MyKad kali pertama untuk kanak-kanak berusia 12 tahun, ibu bapa atau penjaga juga digalakkan untuk menunggu seketika bagi membolehkan anak menerima MyKad Generasi Baharu apabila pengeluarannya bermula dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, JPN memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul serta menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang proses peralihan tersebut.
Maklumat terkini berkaitan MyKad Generasi Baharu boleh diperoleh menerusi saluran rasmi JPN.

