KPT Arah Siasatan Menyeluruh Insiden Kemalangan Maut Penuntut UUM
PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) — Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah mengarahkan supaya siasatan menyeluruh dijalankan merangkumi pematuhan prosedur keselamatan dan langkah pencegahan susulan kemalangan maut membabitkan seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM).
Beliau berkata langkah itu penting untuk memastikan insiden seumpamanya tidak berulang.
“Pihak UUM telah memaklumkan kepada saya bahawa mereka telah menubuhkan dua jawatankuasa bagi melihat keseluruhan aspek dari segi prosedur dan juga hal-hal berkaitan.
“Kita tidak memandang ringan perkara melibatkan keselamatan pelajar. Saya, bagi pihak KPT, terlebih dahulu ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar terlibat. Ia amat menyedihkan apabila saya mendapat laporan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang penuntut wanita UUM maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah bas di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, dalam kawasan universiti itu, kira-kira 8.45 pagi, 19 April lepas.
Mangsa, Manarina Hasya, disahkan meninggal dunia selepas hampir 10 jam menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluangkan masa menghadiri majlis sambutan Aidilfitri warga KPT di pekarangan bangunan kementerian itu.
Beliau tiba kira-kira 1.30 tengah hari dan disambut Zambry serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
BACA: Kereta Kabel Jatuh Dalam Gaung, 4 Disahkan Maut
BACA: Resipi Koktail Buah “Premium”, Letak Bahan Ini Untuk Rasa Lebih Sedap
BACA: JBPM Kenal Pasti Lebih 1,000 Petugas Obes, 229 Ada Masalah Kesihatan – Ketua Pengarah