Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Bermula Hari Ini
Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di semua institusi pendidikan di Perlis diwajibkan bermula hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling, langkah tersebut melibatkan seramai 47,000 murid daripada 74 buah sekolah rendah dan 30 buah sekolah menengah di seluruh negeri.
“Inisiatif tersebut dilihat sebagai usaha bagi memperkukuh rasa cinta terhadap negara dalam kalangan generasi muda, sejajar dengan peranan institusi pendidikan dalam memupuk nilai-nilai kebangsaan,” kata Gan Ay Ling.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pemakaian Lencana Jalur Gemilang di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Khoon Aik, di Kangar.
Pemakaian lencana Jalur Gemilang langkah awal pembinaan negara – MCPF
Usaha Kementerian Pendidikan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid secara berperingkat bermula hari ini adalah pendekatan awal yang baik dalam pembinaan negara dari segi pemupukan nilai, identiti dan semangat cintakan tanah air dalam kalangan rakyat.
Sebelumnya, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Seri Ayub Yaakob berkata usaha itu perlu dimulakan daripada peringkat awal pendidikan dengan memberi penekanan terhadap pemahaman Perlembagaan Persekutuan, penghormatan kepada Jalur Gemilang serta penghayatan Rukun Negara.
“Pendidikan tentang negara harus disampaikan tanpa mencampurkan unsur politik atau isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang sering dikaitkan dengan perdebatan orang dewasa.
“Kita tak boleh bawa isu-isu dewasa ke dalam dunia budak sekolah. Apa yang penting ialah mendidik mereka supaya faham apa itu Perlembagaan, apa tanggungjawab mereka sebagai rakyat dan kenapa kita perlu sayang negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelepasan peserta lawatan sambil belajar ketua balai polis ke Shanghai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada Sabtu.
Elak insiden tidak mengenali Jalur Gemilang
Ayub berkata pendedahan awal itu juga dapat mengelak insiden tidak mengenali Jalur Gemilang dengan teliti sehingga satu komponen dalam bendera terlepas pandang.
“Cinta kepada negara bukan hanya papar di dada, tapi mesti dipupuk dalam hati.
“Lagu, simbol dan bendera, ini semua adalah alat untuk mendidik tapi yang paling penting roh dan falsafah di sebaliknya iaitu cintakan negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa prinsip Rukun Negara tidak seharusnya dilupakan dan perlu sentiasa diamalkan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia sama ada di sekolah, universiti atau dalam masyarakat.
Ayub juga mencadangkan agar semua pelajar universiti dibekalkan dengan salinan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan sepanjang pengajian mereka untuk memahami peranan serta hak mereka sebagai warganegara.
“Bila kita tahu hak kita, kita akan tahu tanggungjawab kita. Kita tak akan mudah terpengaruh atau memandang rendah negara sendiri hanya kerana kita tak tahu nilai sebenar yang terkandung dalam Perlembagaan,” katanya.
BACA: Jalan Berlubang Di Jalan Cheras: Lorong Kiri Terhalang, Trafik Sesak
BACA: Universiti Al-Azhar Setuju Beri Diskaun Kepada Pelajar Perubatan MARA
BACA: Pemain Gitar Kumpulan Metal Terkenal Meninggal Dunia
Sumber: Berita RTM, BERNAMA