59% Pekerja Di Malaysia “Resign” Sebab Tempat Kerja Toksik – Kajian
Satu kajian mendapati sebanyak 59 peratus pekerja di Malaysia meletakkan jawatan kerana persekitaran tempat kerja yang toksik, di mana merupakan angka tertinggi di rantau Asia Pasifik, lapor portal Randstad.
Dalam pada itu, laporan turut menunjukkan sebanyak 48 peratus responden akan menolak tawaran kerja daripada syarikat yang mereka tahu tidak memupuk budaya tempat kerja yang positif secara aktif.
Laporan Workmonitor Malaysia 2025 mendedahkan bahawa membina komuniti tempat kerja yang positif bukan sahaja meningkatkan kebahagiaan dan produktiviti, malah menjadi kelebihan strategik bagi majikan yang ingin menarik bakat tanpa terlibat dalam persaingan kos pengambilan pekerja yang mahal.
Randstad melaporkan perkara itu adalah paling ketara dalam kalangan pekerja Gen Z iaitu 59 peratus dan Gen X iaitu 50 peratus.
Pengurangan budaya toksik di tempat kerja amat penting untuk pekerja
Kajian juga mendapati bahawa sebanyak 50 peratus responden akan mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan sekiranya tiada persefahaman antara pengurus.
Difahamkan, ia termasuk golongan ‘Baby Boomer’ yang merupakan demografik paling cenderung untuk berbuat demikian, iaitu sebanyak 66 peratus.
“Hal ini menyerlahkan peranan penting kepimpinan yang berkesan dan kepentingan pengurusan sumber manusia dalam memupuk dinamik sosial yang sihat di tempat kerja,” kata laporan itu.
Sebanyak 61 peratus responden memberitahu bahawa mereka mempertimbangkan untuk berhenti kerja jika tidak merasa diterima dalam syarikat, manakala kira-kira 16 peratus akan berhenti kerana kurang kawan di tempat kerja.
Tambahan lagi, kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa fenomena ini paling ketara dalam kalangan bakat Gen Z, dengan sebanyak 28 peratus terlibat.
Menurut Randstad, pekerja cenderung berprestasi lebih baik apabila mereka merasa terhubung dengan rakan sekerja.
Lebih daripada sembilan dalam 10 responden berkata bahawa mereka akan produktif di tempat kerja jika rasa semangat komuniti (93 peratus) dan mengenali rakan sekerja (91 peratus).
Sebanyak 33 peratus responden bersedia menerima gaji yang lebih rendah jika mereka mempunyai kawan yang baik di tempat kerja, dengan Gen Z (37 peratus) dan “Baby Boomer” (44 peratus) mendahului trend tersebut.
BACA: AS Kenakan Duti Import Baharu Terhadap Panel Solar Dari Asia Tenggara
BACA: Isu Pakaian Seragam, Ini Penjelasan Kesatuan Pekerja Pos Malaysia
Sumber: Randstad