Isu Pakaian Seragam, Ini Penjelasan Kesatuan Pekerja Pos Malaysia
Kesatuan-Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia hari ini tampil memberi kenyataan rasmi berikutan pertanyaan seorang kakitangan mengenai pembekalan pakaian seragam baharu.
Menurut hantaran Pos Malaysia Berhad di Facebook, kesatuan tersebut menjelaskan bahawa kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Charles Brewer tidak bermaksud untuk merendahkan atau memperlekehkan mana-mana kakitangan Pos Malaysia.
Pihak kesatuan telah mendapatkan penjelasan Brewer sehari selepas insiden itu tular di media sosial sehingga menimbulkan salah faham, malah beliau sendiri mengakui kesilapan tersebut.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, beliau telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mendekati kakitangan di pelbagai peringkat.
“Dalam masa sama, beliau turut berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli kesatuan dan kakitangan, termasuk turun padang bagi memahami serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi,” ujar hantaran berkenaan.
Sementara itu, Pos Malaysia Berhad turut mengulas bahawa semua kakitangan telah dimaklumkan bahawa pakaian seragam baharu akan dibekalkan.
Pihak syarikat turut memberi keperluan keselamatan kepada posmen serahan
Oleh kerana ia masih dalam proses penambahbaikan dari segi bahan dan kualiti bagi memastikan ia lebih sesuai dan selesa untuk digunakan oleh kakitangan, kelewatan telah berlaku pada tahun ini.
Menurut kesatuan itu lagi, sebagai penyelesaian sementara bagi mengatasi kelewatan itu, pihak Pengurusan Operasi akan mengedarkan jersi Pos Malaysia kepada anggota-anggota Kesatuan yang terlibat.
Difahamkan, proses pengedaran tersebut akan dilaksanakan secara bersama di antara pihak Kesatuan dan Pengurusan.
Keperluan keselamatan seperti kasut keselamatan dan sarung tangan turut diberikan kepada posmen serahan demi menjaga keselamatan kakitangan di unit penghantaran.
“Pihak Kesatuan merakamkan penghargaan kepada pihak Syarikat kerana terdapat penambahbaikan dan komitmen berterusan demi menjaga keselamatan kakitangan dan kesediaan untuk membekalkan jumlah baju yang melebihi daripada peruntukan di dalam Perjanjian Bersama.
“Ia merupakan satu langkah yang jelas menunjukkan keprihatinan dan sokongan berterusan kepada kakitangan barisan hadapan,” kata kesatuan itu lagi.
BACA: Wujud Sejak Abad Ke-19, Ini Sejarah Disebalik Perkataan “OK”
https://www.facebook.com/posmalaysia/posts/pfbid02FrtVpTcMKYvotxEyy5C5pa8X1EwrvLAQWvex2iexgWb7H4xsphciLjCQj9j5PefYl
Sumber: Pos Malaysia Berhad via Facebook