Siakap Keli
perarakan liverpool
Gambar: Liverpool FC

Liverpool Dijangka Rancang Perarakan Kejuaraan Terbesar Dalam Sejarah

Liverpool Dijangka Rancang Perarakan Kejuaraan Terbesar Dalam Sejarah

Para penyokong Liverpool pastinya teruja apabila kelab kesayangan mereka semakin hampir menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Di bawah kendalian Arne Slot, yang baru sahaja memasuki musim pertamanya sebagai pengurus, The Reds kini mendahului carta liga dengan kelebihan 13 mata mengatasi pencabar terdekat, Arsenal.

Liverpool hanya memerlukan satu kemenangan lagi, iaitu menentang Tottenham Hotspur di Anfield, untuk mengesahkan kejuaraan liga dengan baki empat perlawanan.

Kemenangan dramatik ke atas Leicester City baru-baru ini, hasil jaringan lewat oleh Trent Alexander-Arnold, memberikan suntikan semangat buat pasukan itu. Ia juga membawa mereka setapak lagi ke arah kejuaraan yang dinanti selama lima tahun.

Sekalipun Arsenal memenangi kesemua baki perlawanan mereka, mereka tetap tidak akan mampu mengejar Liverpool seandainya The Reds mencatat satu lagi kemenangan.

Ini bermakna, Liverpool hanya perlu mengutip tiga lagi mata untuk memastikan mereka tidak dapat dipintas oleh mana-mana pasukan.

Jika berjaya, ini akan menjadi kali ke-20 Liverpool menjuarai saingan liga utama England, menyamai rekod yang kini dipegang oleh Manchester United.

Kali terakhir Liverpool muncul juara adalah pada 2020. Namun, pandemik COVID-19 ketika itu menafikan peluang mereka untuk meraikan kejayaan bersama para penyokong, apatah lagi mengadakan perarakan trofi.

Namun kali ini, penyokong setia akan berpeluang menyaksikan pasukan kesayangan mereka mengangkat trofi Liga Perdana secara langsung di hadapan mata sendiri.

Liverpool dijangka akan menjulang trofi tersebut pada perlawanan terakhir musim ini menentang Crystal Palace di Anfield pada 25 Mei.

Walaupun pihak kelab masih belum mengumumkan secara rasmi pelan perarakan kejuaraan, pengalaman lalu memberi bayangan awal apa yang boleh dijangkakan.

Dijangka lebih meriah daripada perarakan kemenangan sebelumnya

Pada 2022, Liverpool mengadakan perarakan trofi selepas memenangi Piala FA dan Piala Carabao, walaupun tewas dalam final Liga Juara-Juara kepada Real Madrid.

Perarakan ketika itu berlangsung pada 26 Mei, bermula jam 4 petang, merentasi laluan sejauh sembilan batu di sekitar bandar Liverpool.

Tiga buah bas terbuka yang membawa pemain, kakitangan dan trofi telah melalui beberapa mercu tanda ikonik kota tersebut dan berakhir di pusat bandar.

Acara itu turut diserikan dengan kehadiran DJ terkenal dan penyokong Liverpool, Calvin Harris, yang mengiringi perjalanan di atas bas. Ribuan penyokong pula membanjiri mereka sepanjang perjalanan tersebut.

Memandangkan kejuaraan liga jauh lebih berprestij dan bermakna berbanding piala domestik, kehadiran penyokong kali ini dijangka jauh lebih besar dan meriah.

Walaupun kemeriahan makin terasa, Arne Slot mengingatkan pasukannya untuk kekal fokus menjelang perlawanan menentang Tottenham.

“Saya perlu tunggu dan lihat kerana saya belum pernah lalui pengalaman sebegini di sini.

“Tapi berdasarkan pengalaman saya di Feyenoord, memang akan ada banyak keghairahan dari luar, namun kami di pusat latihan hanya fokus kepada sesi latihan,” katanya.

Tambahnya lagi, mereka telah lama merancang untuk memberi satu atau dua hari cuti kepada para pemain minggu ini.

Tujuannya adalah agar para pemain dapat meluangkan masa bersama insan tersayang dan kembali dengan penuh semangat untuk berdepan Tottenham.

BACA: Eain Yow Cipta Sejarah, Kini Dalam Kelompok 10 Terbaik Dunia

BACA: Pemain Bola Sepak Kemboja, Tes Sambath Meninggal Dunia

BACA: Faisal Halim Kongsi Imej X-Ray Patah Tulang Hidung

Sumber: Mirror

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.