Permintaan Durian Malaysia Meningkat Di China
Permintaan terhadap durian Malaysia yang ranum secara semula jadi semakin melonjak di pasaran China. Keadaan ini mendorong para pengusaha durian tempatan merancang untuk meningkatkan lagi pegangan pasaran mereka tahun ini.
Menurut pengedar dan pemproses makanan, eksport durian Malaysia ke China telah mencatat peningkatan ketara tahun ini hasil daripada bekalan yang stabil serta penambahbaikan dalam aspek logistik.
“Durian segar yang dihantar ke China melalui udara dalam tempoh 48 jam selepas dipetik sangat digemari oleh pengguna China yang berkemampuan,” kata Guo Min, Timbalan Pengarah Pemasaran di Joy Wing Mau, sebuah syarikat pengedar buah-buahan segar di China.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembekal Malaysia dijangka meningkatkan eksport durian sebanyak 30 peratus tahun ini, sekali gus memperkukuh keyakinan syarikat dalam meningkatkan jualan.
“Durian segar merupakan antara buah yang mencatat pertumbuhan import terpantas di China. Ia membuka peluang besar kepada para penanam di Malaysia,” kata Vivian Wang, Pengarah Pemasaran di Dole Asia Holdings.
Tidak seperti Thailand dan Vietnam yang mengamalkan kaedah prapotong, durian Malaysia biasanya dibiarkan masak secara semula jadi di pokok sebelum gugur dan dikutip oleh petani.
Hal ini menjadikannya tarikan utama dalam kalangan pengguna China yang mengutamakan kualiti dan kesegaran.
Menurut Guo dan Wang, pegangan pasaran Malaysia dalam industri durian di China telah meningkat sepuluh kali ganda berbanding tahun lalu, meskipun mereka tidak menyatakan angka khusus.
Mereka membuat kenyataan tersebut semasa menghadiri sesi pertemuan perniagaan antara pembekal makanan dan hasil pertanian antarabangsa dengan pedagang China di Shanghai.
Acara itu dianjurkan oleh Biro Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE), sebuah unit di bawah Kementerian Perdagangan China.
Menurut SCMP, unjuran positif ini hadir susulan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada Khamis.
Lawatan itu dilihat sebagai usaha Beijing untuk memperkukuh hubungan perdagangan dengan Asia Tenggara. Usaha tersebut dilakukan di tengah-tengah ketegangan tarif dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
BACA: AS Kenakan Duti Import Baharu Terhadap Panel Solar Dari Asia Tenggara
BACA: PRK Ayer Kuning: 90.4 Peratus Tunai Tanggungjawab Undi Awal Setakat Tengah Hari
BACA: Isu Pakaian Seragam, Ini Penjelasan Kesatuan Pekerja Pos Malaysia
Sumber: SCMP