Dua Dari Tiga Pemain Malaysia Dilapor Tidak Sertai Asean All Stars
Dua daripada tiga pemain Malaysia dilaporkan tidak akan menyertai Asean All Stars untuk menentang kelab bola sepak England, Manchester United, Mei ini.
Terdahulu, Haziq Nadzli, Sergio Aguero dan Dominic Tan dipercayai telah dipilih menyertai pasukan tersebut. Bagaimanapun, masih belum dipastikan siapa dua pemain yang tidak dapat bermain dalam perlawanan terbabit.
Setakat ini, laporan mengenai kedua pemain tersebut belum disahkan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Memetik laporan Stadium Astro, situasi ini membuka peluang kepada pemilihan dua pemain pengganti.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dalam satu kiriman di laman X berkata pengganti berkemungkinan besar dipilih daripada tonggak kacukan dan bintang pertahanan.
https://x.com/zulhelmizainal1/status/1914716079009734772
Sementara itu, pemain pertahanan dari Thailand, Nicolas Mickelson turut tidak dapat menyertai pasukan tersebut berikutan keengganan kelab bola sepak Denmark, Odense melepaskannya. Berita tersebut dikongsi menerusi laman Instagram SEA Asia Goal.
Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengumumkan pemilihan ketua jurulatih pasukan bola sepak Vietnam, Kim Sang Sik sebagai ketua jurulatih ASEAN All Star. Menurut AFF, kepimpinan beliau dibina menerusi visi, integriti dan disiplin.
Berjaya memimpin pasukan Vietnam dalam siri kejuaraan tanpa kalah di Piala Elektrik Mitsubishi ASEAN 2024, Kim diberi kepercayaan penuh seluruh komuniti bola sepak.
“Menjadi satu penghormatan buat saya untuk memimpin pemain terbaik dari seluruh ASEAN dalam perlawanan sebesar ini.
“Kami bukan sekadar mewakili negara sendiri, kami juga menunjukkan kepada dunia tentang kebanggaan, semangat dan kekuatan rantau kami,” ujar Kim menerusi temubual bersama AFF.
Sementara itu, Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth menyifatkan Kim sebagai simbol kemajuan dan profesional.
“Kepimpinannya akan memberi inspirasi bukan sahaja kepada pemain kami, tetapi seluruh generasi pemain bola sepak dan peminat.
“Perlawanan ini adalah detik kebangaan bagi rantau kami, dan peringatan bahawa bola sepak benar-benar dapat meningkatkan kehidupan,” ulasnya.
BACA: Stadium Astro, Sea Asia Goal, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF)
BACA: Dominic Tan Antara 3 Pemain Dipercayai Bakal Sertai Asean All Stars
BACA: Hampir 45,000 Tiket Perlawanan Manchester United-Asean All-Star Sudah Terjual