Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Satu-Satunya Di ASEAN Capai Tier 1 Kesiapsiagaan Migrasi PQC

Migrasi PQC
Kredit: Bernama

PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Malaysia muncul sebagai satu-satunya negara ASEAN yang mencapai tahap tertinggi, Tier 1, dalam kesiapsiagaan migrasi kepada Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC), berdasarkan laporan ASEAN Post-Quantum Cryptography Readiness 2026: An Empirical Assessment of the ASEAN-10 yang diterbitkan pada 1 Sept lepas.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan pencapaian itu mencerminkan keberhasilan pembangunan dan pelaksanaan program migrasi PQC secara aktif di Malaysia.

“Penilaian ini dibuat berasaskan bukti tindakan dan pelaksanaan peringkat nasional yang boleh disahkan secara terbuka, bukannya sekadar bergantung pada pernyataan hasrat atau kemajuan teknologi sesebuah negara,” menurut kenyataan itu.

Laporan berkenaan diterbitkan SITG-Consulting, firma penasihat berpangkalan di United Kingdom dan mempunyai kepakaran dalam risiko siber, tadbir urus kriptografi, daya tahan organisasi serta kesiapsiagaan PQC. Penilaian itu turut meletakkan Brunei, Kemboja, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam pada Tier 2, Filipina (Tier 3), Laos (Tier 4) manakala Myanmar pada Tier 5.

Menurut MKN, kesiapsiagaan PQC merupakan inisiatif strategik Kerajaan MADANI bagi memastikan data, sistem dan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) kekal selamat serta berdaya tahan daripada ancaman teknologi pengkomputeran kuantum.

“Persediaan awal ini membolehkan peralihan dilaksanakan secara terancang demi memperkukuh keselamatan data dan maklumat kerajaan, transaksi kewangan, identiti digital, komunikasi serta kesinambungan perkhidmatan kritikal negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut MKN, inisiatif tersebut disokong pelbagai program nasional termasuk Malaysia Cyber Security Strategy 2025-2030, Dasar Kriptografi Negara , Pelan Tindakan MyKriptografi 2026-2030, Arahan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara No 9 serta Pelan Migrasi PQC Kebangsaan.

Turut dilaksanakan ialah Program Proof-of-Concept PQC melalui Inisiatif Sandbox Pelan Migrasi PQC Kebangsaan serta Program Kesedaran Migrasi PQC kepada entiti NCII.

Bagi mendepani cabaran teknologi masa hadapan, MKN memaklumkan kerajaan komited untuk terus memperkukuh pelaksanaan Pelan Migrasi PQC Kebangsaan bagi memastikan NCII kekal selamat, berdaya tahan dan berdaulat.

“Langkah ini menuntut kerjasama berterusan bersama Ketua-Ketua Sektor NCII, entiti NCII dan pihak industri menerusi penyediaan inventori aset kriptografi, penilaian risiko, pembangunan keupayaan, pengujian teknologi dan pelaksanaan migrasi secara berperingkat seperti yang dirancang,” menurut kenyataan itu.

Sumber:BERNAMA