Cuaca panas memang sudah biasa bagi rakyat Malaysia, tetapi tahun depan keadaan dijangka menjadi lebih panas daripada kebiasaan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan fenomena Super El Niño boleh menyebabkan suhu di beberapa kawasan mencecah 40.5 hingga 41 darjah Celsius.
Menurut Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, kesannya dijangka mula dirasai sekitar Mac hingga April tahun hadapan.
Keadaan itu dijangka lebih ketara di negeri-negeri utara Semenanjung, terutama ketika tempoh tersebut turut bertepatan dengan musim Ekuinoks.
Jadi, apa sebenarnya Super El Niño dan kenapa fenomena ini boleh menyebabkan Malaysia terasa jauh lebih bahang?
Super El Niño Dijangka Landa Malaysia, Kenali El Niño Dahulu
Untuk faham Super El Niño, kita perlu tahu dahulu apa yang berlaku ketika fenomena El Niño biasa.
Menurut MetMalaysia, El Niño berlaku apabila suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik Khatulistiwa menjadi lebih panas daripada biasa.
Apabila laut semakin panas, lebih banyak haba dan lembapan naik ke atmosfera, menyebabkan awan, ribut petir dan hujan lebat lebih mudah terbentuk di kawasan tersebut.
Pada masa yang sama, keadaan di bahagian barat Pasifik termasuk Malaysia turut berubah apabila tekanan atmosfera menjadi lebih tinggi.
Keadaan ini menyebabkan pembentukan awan hujan menjadi lebih sukar, sekali gus menjadikan cuaca di Malaysia lebih kering dan panas daripada biasa.
Mudah kata, apabila El Niño berlaku, cuaca panas yang biasa dirasai rakyat Malaysia boleh menjadi lebih kering dan berpanjangan.
Apa beza El Niño dengan Super El Niño?
Super El Niño bukanlah fenomena baharu tetapi ia merujuk kepada keadaan apabila El Niño berlaku dengan lebih ekstrem daripada kebiasaan.
Mudah cerita, semakin tinggi suhu permukaan laut di kawasan tertentu Lautan Pasifik, semakin ketara perubahan cuaca yang boleh berlaku.
Menurut Winter Wildlands Alliance, El Niño dikategorikan sebagai sangat kuat apabila suhu permukaan laut di Laut Pasifik meningkat sebanyak dua darjah Celsius atau lebih.
Sebab itu, istilah “Super El Niño” digunakan untuk menggambarkan episod El Niño yang berada pada tahap paling tinggi.
Carbon Brief pula melaporkan El Niño yang sedang berkembang pada 2026 berpotensi menjadi antara yang paling ekstrem pernah direkodkan.
Kenapa Malaysia boleh jadi lebih panas?
Apabila Super El Niño berlaku, Malaysia biasanya menerima hujan yang lebih sedikit berbanding keadaan biasa.
Bila hujan berkurangan, keadaan langit juga boleh menjadi lebih cerah dan kurang berawan untuk tempoh yang lebih lama.
Kesannya, lebih banyak haba matahari sampai ke permukaan bumi dan menyebabkan suhu meningkat.
Sebab itu, kesan Super El Niño di Malaysia bukan sekadar beberapa hari cuaca panas, tetapi boleh menyebabkan keadaan kering berpanjangan.
Bernama melaporkan, Malaysia sebelum ini pernah berdepan fenomena Super El Niño pada 1982/1983, 1997/1998 dan 2015/2016 yang menyaksikan cuaca harian negara menjadi panas yang ekstrem.
Menurut Mohd Hisham ketika ditemui Bernama, rekod suhu negara tertinggi yang pernah dicatatkan di negara ini adalah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 1997/1998.
Untuk tahun depan pula, MetMalaysia tidak menolak kemungkinan suhu boleh melepasi rekod dan mencecah 40.5 hingga 41 darjah Celsius di beberapa kawasan.
Bukan suhu panas sahaja yang perlu diberi perhatian
Kalau hujan kurang untuk tempoh yang panjang, kesannya boleh menjadi lebih besar daripada sekadar membuatkan kita cepat berpeluh.
Cuaca kering berpanjangan boleh meningkatkan risiko kemarau, kebakaran terbuka dan jerebu, terutama jika keadaan tersebut berterusan.
Bekalan air juga boleh terjejas apabila hujan berkurangan dan paras empangan mula menyusut.
Sektor pertanian turut boleh menerima kesan apabila tanaman kekurangan air dan keadaan tanah menjadi semakin kering.
Dalam episod El Niño yang kuat sebelum ini, beberapa kawasan di utara Malaysia pernah mengalami tempoh sehingga 70 hari tanpa hujan.
Namun begitu, kesan El Niño tidak semestinya sama di setiap kawasan kerana corak cuaca boleh berubah mengikut lokasi.
Ada kawasan yang mungkin mengalami cuaca lebih kering, manakala sesetengah tempat lain pula boleh menerima hujan lebih banyak daripada biasa.
Perlu panik ke?
Tak perlu panik, tetapi persediaan awal memang penting memandangkan keadaan cuaca boleh berubah mengikut perkembangan fenomena tersebut.
MetMalaysia juga menjelaskan bahawa kekuatan El Niño masih perlu dipantau kerana fenomena ini boleh berubah dari semasa ke semasa.
Lagipun, Super El Niño bukan bermaksud Malaysia akan mencatat suhu 41 darjah Celsius setiap hari sepanjang tahun.
Sebaliknya, ia menunjukkan negara berpotensi berdepan tempoh cuaca yang lebih panas dan kering daripada kebiasaan.
Jadi, kalau tahun depan cuaca terasa jauh lebih bahang daripada biasa, keadaan itu mungkin bukan sekadar perasaan semata-mata.
Apa yang penting, orang ramai perlu bersedia menghadapi cuaca panas, menggunakan air secara berhemah dan mengikuti perkembangan terkini daripada MetMalaysia.

