Malaysia dicadang menjadi titik masuk penyelarasan bagi pelaksanaan awal kerangka Model Penyerahan Tunggal untuk kelulusan prapasaran peranti perubatan di ASEAN.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan berkenaan mendapat sokongan penuh negara anggota ASEAN dalam Perbincangan Meja Bulat ASEAN Pertama mengenai Peranti Perubatan anjuran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) yang dipengerusikannya hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Dzulkefly berkata perbincangan bersejarah itu disertai Menteri-Menteri Kesihatan serta delegasi dari Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand, Vietnam, Timor-Leste, Indonesia dan Filipina.
“Hasil perbincangan, kesemua negara anggota bersetuju secara prinsip untuk menyokong pembangunan Model Penyerahan Tunggal secara berfasa bagi kelulusan prapasaran peranti perubatan.
“Lebih membanggakan, mesyuarat menyokong penuh agar Malaysia bertindak sebagai titik masuk penyelarasan bagi pelaksanaan awal kerangka ini, khususnya untuk menerima dan menyelaras pengagihan dosir teknikal,” katanya.
Menurut Dzulkefly, pelaksanaan model berkenaan membolehkan pihak berkuasa kawal selia negara anggota ASEAN meminimumkan pertindihan kerja dalam proses penilaian dan kelulusan peranti perubatan.
Bagaimanapun, jelasnya, setiap negara masih mengekalkan kuasa pemutus akhir bagi pendaftaran peranti perubatan berdasarkan kedaulatan perundangan masing-masing.
Susulan persetujuan itu, beliau berkata Jawatankuasa Peranti Perubatan ASEAN bersama Sekretariat ASEAN akan bertanggungjawab merangka mekanisme pelaksanaan model berkenaan menjelang mesyuarat jawatankuasa tersebut di Vientiane, Laos, dari 6 hingga 8 Oktober ini.
“Inisiatif strategik ini akan memperkukuh keselamatan pesakit serta memastikan rantau ini mendapat akses yang pantas dan saksama kepada peranti perubatan yang berkualiti,” katanya.

