Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dibesarkan Dengan Titik Peluh Abah Yang Bekerja Di KTM, Kisah Graduan Ini Undang Sebak

abah
Kredit: Threads haninajwa_
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Bagi sesetengah orang, stesen kereta api mungkin sekadar tempat untuk menunggu dan menaiki tren. Namun, bagi seorang graduan ini, stesen KTM menyimpan seribu satu kenangan sepanjang perjalanan hidupnya sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah.

Menerusi perkongsian di Threads, pengguna dikenali sebagai haninajwa_ berkongsi kisah perjalanan hidupnya yang cukup dekat dengan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Kredit: Threads haninajwa_

Menurutnya, bapanya bekerja dengan KTM sejak dia masih kecil dan hasil titik peluh bapanya itulah yang membesarkannya.

Lebih bermakna, sepanjang empat tahun melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dia turut menggunakan perkhidmatan KTM untuk berulang alik dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim setiap minggu.

Malah, dia secara berseloroh menggelarkan rutin itu sebagai PBSM, iaitu Persatuan Balik Setiap Minggu.

“Orang nampak stesen KTM biasa, tetapi saya nampak satu perjalanan hidup saya menjadi dewasa.

“Abah bekerja dengan KTM sejak saya kecil. Saya dibesarkan dengan hasil titik peluh abah bekerja di KTM.

“Selepas itu, selama empat tahun saya belajar di UPSI, saya pula selalu berulang alik setiap minggu dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim demi segulung ijazah.

“Daripada seorang penumpang yang penat, kini saya pulang sebagai graduan. Terima kasih mama dan abah, terima kasih KTM serta komuter yang menjadi saksi perjuangan saya,” kongsinya.

Kredit: Threads haninajwa_

Dalam perkongsian sama, Hani turut mengingatkan bahawa sesiapa yang ingin merakam gambar di lokasi berkenaan perlu mendapatkan permit terlebih dahulu.

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi pengguna Threads yang rata rata mengucapkan tahniah selain mencadangkan agar Hani dilantik sebagai duta KTM.

“Pihak KTM patut mengambil adik ini sebagai duta KTM,” komen zaididali.

Sementara itu, _lailaharun berseloroh bahawa gerabak KTM juga boleh menjadi saksi perjalanan hidup Hani sehingga berjaya menamatkan pengajian.

“Kalau sesiapa tidak percaya, suruh dia tanya gerabak KTM kerana gerabak gerabak inilah yang menjadi saksi kedewasaan awak. Apa apa pun, cantik betul gambar gambar adik ini. Tahniah, bijak dan jelita,” katanya.

Seorang lagi pengguna, aqilahismail85 turut mengingatkan Hani agar tidak melupakan jasa petugas KTM yang membantunya sampai ke destinasi sepanjang perjalanan.

Selain itu, nurazhaimishahmaznita berkongsi kisah keluarganya yang mempunyai hubungan dengan perkhidmatan kereta api sejak beberapa generasi, bermula daripada bapa mentuanya yang bekerja sebagai mandur, diikuti suaminya dan adik kembarnya yang pernah bertugas sebagai pemandu komuter, sebelum anaknya pula bekerja dalam bahagian khidmat pelanggan KTM.

Perkongsian Hani turut mengimbau kenangan asma__1108 yang menceritakan pengalaman arwah bapanya bekerja dengan KTM dan menghantar adik beradiknya yang melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur menggunakan kereta api ekspres.

Katanya, ketika itu mereka tidak mempunyai kereta dan bantuan tambang murah yang diberikan KTM banyak membantu keluarga mereka.

Seorang lagi pengguna, ayu_kimcippo turut berkongsi kenangan bersama arwah bapanya yang pernah bekerja dengan KTM sebelum bersara pada 2018.

Menurutnya, bapanya sering menunggu kepulangannya di stesen KTM Nilai dan kenangan itu masih dirindui sehingga kini.

Sumber:Threads
Intipati
  • Hani berkongsi kisah bapanya bekerja dengan KTM sejak dia masih kecil.
  • Dia menggunakan KTM setiap minggu dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim sepanjang pengajian.
  • Perkongsian itu menerima ucapan tahniah dan kenangan pengguna lain berkaitan KTM.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan