Selepas lebih dua dekad, Malaysia kembali menerajui Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 (AHMM) yang membuka tirainya secara rasmi pada Isnin.
Menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia menjadi tuan rumah persidangan dwitahunan itu dari 7 hingga 11 September, dengan Myanmar bertindak sebagai Naib Pengerusi.
KKM dalam satu kenyataan berkata, penganjuran kali ini bertemakan “Healthy ASEAN: Together Towards Equitable, Future-Ready Health Systems” dan memberi penekanan kepada usaha menterjemahkan dasar kesihatan kepada tindakan nyata yang memberi manfaat kepada lebih 670 juta penduduk ASEAN.
“Tumpuan strategik AHMM ke-17 merangkumi pelancaran Agenda Kesihatan Strategik ASEAN (ASHA) 2026-2030 sebagai pelan hala tuju utama kesihatan serantau.
“Persidangan ini turut memberi fokus kepada pengukuhan kesiapsiagaan pandemik menerusi pengoperasian Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Kemunculan Baharu ASEAN (ACPHEED), selain merangka strategi bersepadu bagi menangani beban dwi-penyakit membabitkan penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit (NCD),” menurut kenyataan itu.
Persidangan berkenaan dimulakan dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Kesihatan (SOM), manakala acara kemuncak yang menghimpunkan Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN dijadual berlangsung mulai Rabu.
Malaysia Pamer Kepimpinan Kesihatan Serantau
Selain agenda utama, KKM berkata Malaysia turut menganjurkan beberapa acara sampingan yang membincangkan isu kesihatan penting di rantau ini.
Antara topik yang diberi perhatian termasuk penyakit jarang jumpa, inisiatif kesihatan mata menerusi MySPECS, penyelidikan penyakit terabai (DNDi), kesihatan paru-paru, aplikasi Behavioural Insights serta kawal selia peranti perubatan di peringkat serantau.
Penganjuran AHMM ke-17 turut mencatat sejarah menerusi pelaksanaan Mesyuarat Sulung Menteri Kesihatan ASEAN-Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN-Jepun.
Menurut KKM, platform diplomasi itu turut dimanfaatkan untuk mengadakan perbincangan peringkat menteri bersama rakan dialog utama seperti China, Republik Korea (ROK) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Perbincangan berkenaan bertujuan memperluas kerjasama teknikal serta meneroka peluang pelaburan dalam bidang kesihatan awam.
Jelas KKM, kesemua inisiatif dan kerangka dasar yang dibincangkan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan menerusi gagasan Malaysia MADANI dalam memastikan sistem kesihatan awam di rantau ASEAN kekal inklusif, saksama dan mampan bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

