Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hafizh Syahrin Pertahan Gelaran ASB1000, JDT Racing Team Raih Kejuaraan Berganda

SYAHRIN
Kredit: Stadium Astro

Musim ketiga bersama JDT Racing Team terus melakar detik istimewa buat pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah apabila dia berjaya mempertahankan gelaran juara kelas ASB1000 dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) musim ini.

Hafizh, 31, mengesahkan kejuaraan lebih awal pada pusingan kelima di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sekali gus membantu JDT Racing Team meraih kejuaraan individu dan pasukan.

Meskipun terlepas peluang melengkapkan kempen dengan rekod sempurna 10 kemenangan, Hafizh tetap tampil dominan apabila mencatatkan sembilan kemenangan daripada 10 perlumbaan yang disertainya.

Menunggang jentera Ducati Panigale V4 R, Hafizh membuka kempen dengan kemenangan di Sepang sebelum meneruskan rentak cemerlang di Buriram, Motegi dan Mandalika.

Kembali beraksi di Sepang bagi pusingan kelima hujung minggu lalu, Hafizh sekali lagi membuktikan kehebatannya meskipun berdepan minggu yang cukup mencabar di luar litar.

Pemergian pelumba Cub Prix, Farres Putra, yang dianggap seperti adiknya sendiri, memberi kesan mendalam kepada Hafizh.

Namun, dalam keadaan emosi yang sukar, dia tetap mengetepikan kesedihan bagi menyempurnakan tanggungjawab di litar, sekali gus membantu JDT Racing Team mengesahkan kejuaraan berganda.

Perebutan SS600 Menuju Kemuncak

Sementara itu, saingan kelas SS600 semakin sengit menjelang pusingan terakhir yang dijadual berlangsung di Buriram, Thailand, Disember depan.

Kasma Daniel Kasmayudin, Anupab Sarmoon dan Thanat Laungplio antara pelumba yang bersaing rapat untuk merebut kedudukan teratas selepas lima pusingan.

Kasma mencetuskan kebangkitan penting di Sepang apabila menamatkan Perlumbaan 2 di tempat kedua, sekali gus mengambil alih pendahuluan kejuaraan.

Bagaimanapun, pelumba Hong Leong Yamaha Racing itu terlepas peluang untuk menutup saingan di Sepang dengan kemenangan selepas dipintas pelumba Yamaha Racing Indonesia, Wahyu Nugroho, di selekoh terakhir.

Kedudukan Kasma turut bertambah kukuh selepas pencabar terdekatnya, Thanat, hanya menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan lebih rendah meskipun pelumba Thailand itu terlebih dahulu memenangi Perlumbaan 1.

Dengan hanya satu pusingan berbaki, Buriram bakal menjadi pentas penentuan bagi perebutan kejuaraan SS600.

Secara keseluruhannya, pusingan kelima di Sepang bukan sahaja menyaksikan Hafizh mempertahankan mahkota ASB1000 bersama JDT Racing Team, malah turut menyaksikan perubahan penting dalam persaingan SS600 yang kini menuju kemuncak di Thailand.

Intipati
  • Hafizh Syahrin mempertahankan gelaran ASB1000 selepas mengesahkan kejuaraan pada pusingan kelima Sepang.
  • JDT Racing Team meraih kejuaraan individu dan pasukan menerusi aksi dominan Hafizh musim ini.
  • Kasma Daniel mendahului saingan SS600 menjelang pusingan terakhir di Buriram, Thailand, Disember depan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan