BEIJING, 15 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) tetap dengan pendirian mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dimenangi gabungan itu sebelum ini, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagaimanapun, gabungan itu terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak berhubung baki tujuh kerusi lain yang tidak dimenanginya pada pilihan raya lalu.
“Prinsip kita, 21 kerusi yang kita menangi itu adalah kerusi yang kita tidak berhasrat untuk kongsikan... kalau mahu mengadakan perundingan pun, kita akan berunding atas tujuh lagi kerusi yang bukan dipunyai oleh BN,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau turut menyerahkan mandat kepada Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk membuat keputusan muktamad berhubung bentuk kerjasama yang akan dimeterai selepas hari penamaan calon kelak.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional meraih dua kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon PRN Melaka pada 31 Okt, undi awal 10 Nov dan hari mengundi pada 14 Nov selepas pembubaran DUN 23 Sept lepas.
-- BERNAMA

