KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- ASEAN perlu memperkukuh perpaduan, mendalami kerjasama pertahanan praktikal dan menggalakkan dialog yang jujur bagi menangani ancaman keselamatan serantau serta risiko yang semakin meningkat terhadap keselamatan makanan dan tenaga, kata Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro Jr. pada Rabu.
Berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-20 di Cebu, Filipina, Teodoro menggariskan tiga keutamaan untuk memandu perbincangan iaitu perpaduan ASEAN, kerjasama praktikal dan dialog yang jujur. Beliau berkata kestabilan dalaman dan perpaduan adalah penting bagi blok tersebut bagi mengekalkan kerjasama dalam dunia yang semakin berpecah-belah.
Teodoro menggesa negara anggota supaya mendukung kepusatan ASEAN serta prinsip-prinsip yang mengikat blok tersebut, termasuk saling menghormati kedaulatan dan integriti wilayah, penyelesaian pertikaian secara aman, serta penolakan terhadap ancaman atau penggunaan kekerasan.
“Dan sekiranya wujud perbezaan sedemikian, termasuk di Laut China Selatan, kita akan menyelesaikannya melalui cara yang aman dan sah di sisi undang-undang,” katanya, seperti yang dipetik dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Media dan Komunikasi Strategik ASEAN.
Teodoro berkata kerjasama praktikal menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) adalah penting untuk membina kepercayaan dalam kalangan institusi pertahanan ASEAN serta memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
Beliau menyentuh tentang kemajuan dalam keselamatan maritim, perlindungan infrastruktur kritikal di bawah laut dan pertukaran antara rakyat.
Teodoro menyeru agar kerjasama diperluas bagi menjamin bekalan makanan dan tenaga daripada gangguan yang berpunca daripada konflik di luar rantau ini.
“Inisiatif ini menjadi semakin penting memandangkan Asia Tenggara bakal berdepan fenomena ‘super El Niño’, yang turut akan menjejaskan bekalan makanan, air, elektrik, serta kesalinghubungan di negara kita masing-masing,” katanya.
Ketua pertahanan Filipina itu juga menggesa supaya perbincangan yang jujur diadakan mengenai ancaman terhadap keselamatan awam dan kestabilan serantau, sambil mengakui bahawa kenyataan awam setiap negara dipandu oleh dasar nasional dan pertimbangan diplomatik masing-masing.
“Bagaimanapun, kami berharap kita dapat berbincang sesama sendiri dalam suasana yang penuh kepercayaan, keyakinan dan keterbukaan, terutamanya dalam mesyuarat dua hala serta pertemuan lain di luar agenda rasmi,” ujarnya.
Tambah beliau, perbincangan seperti itu akan membantu negara anggota membina persefahaman, mencari titik persamaan dan menangani cabaran yang dihadapi bersama.
Filipina menjadi tuan rumah ADMM ke-20 dan ADMM-Plus ke-13 pada 28–29 Okt sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.

