Malaysia Airlines Kini Jenama Syarikat Penerbangan Paling Pesat Berkembang Di Dunia
Malaysia Airlines telah mencatat pencapaian luar biasa tahun ini. Syarikat itu diiktiraf sebagai jenama syarikat penerbangan paling pesat berkembang di dunia, menurut laporan terbaharu Airlines 50 2025 oleh Brand Finance, sebuah firma penilaian jenama terkemuka di peringkat global.
Dalam laporan tersebut, nilai jenama Malaysia Airlines dilaporkan melonjak sebanyak 209 peratus kepada USD607 juta, sekali gus meletakkannya di kedudukan ke-45 dunia.
Ini sekali gus adalah satu kemunculan semula yang cemerlang selepas hampir sedekad menyepi daripada senarai berprestij ini.
Menurut Brand Finance, antara faktor utama yang mendorong pertumbuhan luar biasa ini.
Antaranya inisiatif pembaharuan armada pesawat, penstrukturan semula laluan penerbangan, komitmen terhadap transformasi digital, serta peluasan operasi ke peringkat antarabangsa.
Tidak hanya itu, Malaysia Airlines mencatat Skor Indeks Kekuatan Jenama (BSI) sebanyak 78.2 daripada 100.
Syarikat ini juga menerima penarafan kekuatan jenama AA+, yang mencerminkan tahap pertimbangan, keutamaan dan pengiktirafan yang tinggi di pasaran tempatan.
Ini sekali gus menunjukkan kesetiaan dan kepercayaan kukuh daripada pengguna dalam negara.
AirAsia terus kukuh di peringkat global
Sementara itu, satu lagi syarikat penerbangan negara, AirAsia, turut mencatat prestasi cemerlang apabila nilai jenamanya meningkat sebanyak 66 peratus kepada USD1.9 bilion.
Peningkatan ini membolehkan AirAsia naik dua anak tangga ke kedudukan ke-24 dunia.
Pertumbuhan AirAsia dipacu oleh prestasi kewangan yang kukuh, diperkukuh oleh kadar isian penumpang yang tinggi hasil peningkatan kapasiti operasi serta kenaikan jumlah penumpang.
Antara strategi utama yang dilaksanakan ialah peluasan rangkaian ke destinasi baharu seperti Chongqing di China dan Nairobi di Kenya.
Selain itu, AirAsia turut meningkatkan kekerapan penerbangan bagi memenuhi permintaan tinggi pada musim kemuncak.
Jenama AirAsia disenaraikan sebagai jenama syarikat penerbangan ke-11 terkuat di dunia, dengan skor BSI 84.2 daripada 100 serta penarafan kekuatan jenama AAA-.
Malaysia Airports juga catat kemajuan
Dalam sub-ranking Airports 25 2025, Brand Finance turut menyenaraikan Malaysia Airports sebagai jenama lapangan terbang ketujuh terkuat di dunia. Jenama ini mencatat kenaikan nilai sebanyak 83 peratus kepada USD184 juta, dengan skor BSI 80.3 daripada 100 serta penarafan kekuatan jenama AAA-.
“Kemunculan semula Malaysia Airlines sebagai jenama penerbangan paling pesat berkembang di dunia membuktikan kejayaan strategi transformasinya dan keupayaan untuk menyesuaikan diri secara pantas.
“Sementara itu, AirAsia terus menunjukkan ketahanan dan kecekapan kewangan melalui peluasan strategik rangkaian.
“Kedua-dua syarikat ini mencerminkan potensi besar industri penerbangan Malaysia di pentas global,” kata Pengarah Urusan Asia Pasifik Brand Finance, Alex Haigh.
Gambaran menyeluruh
Secara keseluruhan, nilai gabungan jenama 50 syarikat penerbangan teratas dunia meningkat sebanyak 29 peratus.
Kenaikan ini menjadikan jumlah keseluruhan mencecah USD132.6 bilion, sejajar dengan pemulihan berterusan dalam sektor penerbangan global.
Permintaan terhadap penerbangan jarak jauh dan perkhidmatan premium kini mengatasi pilihan kos rendah.
Keadaan ini menyebabkan syarikat penerbangan penuh (FSC) lebih menonjol dari segi pertumbuhan serta peningkatan nilai jenama.
Delta Airlines kekal sebagai jenama syarikat penerbangan paling bernilai di dunia buat tahun ketujuh berturut-turut, dengan peningkatan nilai jenama sebanyak 38 peratus kepada USD14.9 bilion.
Sementara itu, Southwest Airlines diiktiraf sebagai jenama syarikat penerbangan terkuat dunia dengan skor BSI 91.1/100, mendapat penilaian tinggi dari segi reputasi, cadangan pelanggan dan kesetiaan pengguna.
Nilai jenama melonjak 209 peratus, Malaysia Airlines kini syarikat penerbangan paling pesat berkembang di dunia.
BACA: Rancangan Baharu Trump Cetus Perdebatan Hangat
BACA: AS Kenakan Duti Import Baharu Terhadap Panel Solar Dari Asia Tenggara
BACA: Rumah Putih Umum China Berdepan Tarif Hingga 245 Peratus Akibat Tindak Balas Dagang
Sumber: Brand Finance