Pemuda Dakwa Dijangkiti Penyakit Kulit Akibat Baju “Thrifting”
Seorang pemuda menjadi tular di media sosial selepas berkongsi pengalaman dijangkiti penyakit kulit dikenali sebagai “moluskum kontagiosum” selepas memakai pakaian terpakai atau thrifting.
Perkongsian pemilik akaun TikTok, @onenevertwhoo, telah meraih perhatian ramai apabila beliau menjelaskan bahawa benjolan kecil mula timbul di jarinya dan kemudiannya merebak ke wajah.
“Sebenarnya beli baju thrifting itu tak salah. Tapi kesilapan saya, saya tak cuci baju tu dulu. Lepas beli, terus pakai. Akhirnya, saya dijangkiti moluskum,” katanya dalam video yang dimuat naik.
Jangkitan bermula dari tangan ke wajah
Kisahnya menjadi lebih serius apabila beliau menyangka benjolan di jarinya adalah biasa, lalu kerap menggarunya sehingga berdarah.
Tanpa disedari, tangannya yang tercemar menyentuh wajah dan akhirnya menyebabkan jangkitan merebak ke muka.
“Saya ingatkan cuma ruam biasa. Tapi bila dah mula merebak ke wajah, baru saya tahu ia sebenarnya jangkitan virus,” ujarnya.
Tambah pemilik video viral itu, doktor yang merawatnya turut menyarankan agar setiap pakaian thrifting dibersihkan secara menyeluruh sebelum digunakan.
“Doktor nasihat rendam dulu dengan air panas, cuci dengan sabun atau detergen, dan kalau boleh, cuci beberapa kali untuk pastikan virus yang melekat pada pakaian itu hilang,” jelasnya.
@onenevertwoo_one Suatu kesalahan yang merugikan banget sih, aku kira beli baju Thrift ga sebahaya ini🥹 #bajuthrift #thrifting #bahayabajuthrift #moluskum #infeksikulit #fyp #acne #acneskin #acnefighter #jerawat
Apa itu moluskum kontagiosum?
Menurut pakar dermatologi Indonesia, Dr Ruri Diah Pamela, moluskum kontagiosum ialah jangkitan kulit yang disebabkan oleh virus dari kumpulan pox virus.
Ia adalah benjolan kecil berwarna putih atau merah jambu, biasanya dengan lekukan kecil di tengahnya.
Jangkitan ini boleh merebak melalui sentuhan kulit secara langsung atau melalui objek yang telah tercemar seperti pakaian, tuala dan alat cukur.
“Virus ini boleh berpindah dari pakaian terpakai ke kulit manusia, terutamanya jika pakaian itu pernah dipakai oleh pesakit moluskum dan tidak dibersihkan dengan betul,” jelas Dr Ruri kepada detikcom.
Dr Ruri turut menegaskan bahawa meskipun kes seperti ini jarang berlaku, ia tetap mempunyai potensi untuk menular jika langkah penjagaan kebersihan tidak diambil.
“Tak salah beli baju thrifting, tapi sangat penting untuk pastikan kebersihannya sebelum dipakai,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dan tidak memandang ringan risiko kesihatan yang mungkin timbul daripada pakaian thrifting yang tidak dibersihkan dengan betul.
Berikut adalah beberapa risiko yang dikenal pasti:
- Infeksi kulit seperti moluskum, impetigo dan scabies.
- Reaksi alergi akibat sisa bahan kimia atau detergen yang digunakan oleh pemilik sebelumnya.
- Iritasi kulit, terutama bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif.
Pakaian thrifting sememangnya pilihan popular kerana murah dan unik, namun ia tidak seharusnya digunakan tanpa dibersihkan dengan sempurna.
Masyarakat juga disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan jangkitan kulit yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan.
BACA: Rupanya “Baby Kangaroo” Bukan Lahir Dalam Kantung Perut Ibunya
BACA: Warga Maya ‘Heboh’, Ketebalan Asfalt Di China Cecah 40cm
BACA: Meraung Rangkul Anak Tidak Bernyawa, Coretan Si Ayah Undang Hiba
Sumber: TikTok @onenevertwoo_one, Detik