Cemerlang, Anak Menteri Pendidikan Raih 8A SPM
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meraikan keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anaknya hari ini, lapor Astro Awani.
Difahamkan, sebelum hadir membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Kajang, beliau dan suami meluangkan masa di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang bagi mendampingi anaknya mengambil keputusan tersebut.
Berkongsi berita gembira berkenaan di media sosial, Fadhlina meluahkan rasa syukur dengan keputusan peperiksaan SPM anak keduanya yang meraih 8A.
“Kerana kami sayangkan anda dan kami doakan anda. Tahniah buat semua anak-anak yang mengambil keputusan SPM pada hari ini. Khususnya buat anakanda kesayangan kami, Sarah.
“Kesyukuran kami panjatkan kepada Allah SWT untuk nikmat ini. Pastinya kerana usaha Sarah yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam pelajarannya,” ucap menteri berkenaan.
Dalam meraikan pencapaian anaknya, Fadhlina sempat menitipkan pesan buat ibu bapa kepada calon SPM.
“Apapun keputusan anak-anak kita pada hari ini, ucapkan tahniah dan bersyukur. Reda atas keputusan mereka kerana ia adalah usaha anak-anak kita mengikut daya dan kemampuan mereka.
“Teruskan memberi pedoman dan bimbingan agar mereka terus menyambung pendidikan ke peringkat yang tertinggi,” nukil beliau.
Menerusi perkongsian yang sama, Fadhlina turut memberi hak membuat keputusan masa hadapan kepada anak gadisnya.
“Untuk Sarah, terima kasih atas keputusan cemerlang ini. Mama dan Baba pulangkan kepada Sarah untuk pilihan langkah selanjutnya.
“Nampak gaya jika tidak Pengajian Islam atau Syariah, pastilah undang-undang. Macam Mama dan Baba juga,” tambahnya.
https://www.facebook.com/fadhlina.datosidek/posts/pfbid035V2naoeRKjjSJG1qt4gFqZrqicWuCWJjxfnUWTqw9FBzMiTWFrCFRLmhWJtLD7N2l
Terdahulu anak sulung beliau, Thurayya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menerima keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2023 dengan keputusan 9A 2B.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan mengumumkan keputusan peperiksaan SPM tahun 2024 merupakan pencapaian terbaik sejak 2013.
Malah, jumlah calon yang layak dianugerahkan sijil SPM bagi tahun 2024 menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2023 iaitu sebanyak 94 peratus dari jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan tersebut.
Sumber: Astro Awani, Fadhlina Sidek