Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jadual SPM 2026 Dijangka Diumumkan Hari Ini - KP Pendidikan

SPM
Kredit: Bernama

KOTA BHARU, 18 Ogos (Bernama) -- Jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 dijangka diumumkan petang ini selepas mendapat persetujuan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.

Beliau berkata cadangan penambahbaikan jadual peperiksaan itu akan dibentangkan oleh Timbalan Pengarah Lembaga Peperiksaan kepada Fadhlina hari ini untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Kalau tidak ada apa-apa isu, kalau boleh tandatangan, kita akan keluarkan (jadual SPM 2026) petang ini,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan bas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat, di sini hari ini

Beliau berkata penyediaan jadual baharu itu mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk kebimbangan berkaitan beberapa kertas peperiksaan, yang sebelum ini sering dijadualkan pada penghujung tempoh peperiksaan.

“Bila kita ambil semua pandangan, kita nak buat sedikit penambahbaikan.. kita terpaksa ambil masa untuk berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata faktor lain yang turut diteliti ialah Monsun Timur Laut, kejadian jerebu yang boleh berlaku pada hujung tahun, serta tempoh cuti persekolahan bagi memastikan jadual yang ditetapkan tidak memberikan implikasi kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah.

"Semuanya kita teliti, sebab itu bila kita hendak buat perubahan, saya nak perkara (Jadual SPM 2026) ini diteliti betul-betul,” katanya.

Beliau berkata perkara itu penting supaya sebarang perubahan jadual peperiksaan mengambil kira keadaan pada peringkat negeri dan sekolah serta kepentingan calon dan ibu bapa.

“Kita di Kementerian Pendidikan akan cuba berikan yang terbaik untuk JPN, PPD dan juga sekolah, terutamanya anak-anak yang akan menduduki peperiksaan SPM dan juga kepada ibu bapa,” katanya.

Mohd Azam berkata dalam pertemuan dengan Menteri Pendidikan yang berlangsung semalam, beliau turut memberikan gambaran awal mengenai perubahan yang dicadangkan.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial mengenai kebimbangan ibu bapa dan calon terhadap tarikh serta jadual peperiksaan SPM 2026, dengan ada yang mempersoalkan kelewatan pengumuman jadual berkenaan.

-- BERNAMA

Intipati
  • Jadual SPM 2026 dijangka diumumkan petang ini selepas persetujuan Menteri Pendidikan.
  • Cadangan penambahbaikan akan dibentangkan kepada Fadhlina Sidek untuk pertimbangan dan kelulusan.
  • Kementerian meneliti pandangan pihak berkepentingan, cuaca, jerebu dan cuti persekolahan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan