Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

SKMM Buka Kertas Siasatan Terhadap Pempengaruh Media Sosial

SKMM Buka Kertas Siasatan Terhadap Pempengaruh Media Sosial

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap pempengaruh media sosial selepas menerima aduan daripada orang awam.

Menurut SKMM dalam kenyataan media yang dimuat naik di Facebook hari ini, siasatan dibuat mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM 1998).

Berdasarkan dua aduan rasmi yang diterima itu, dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibupejabat SKMM di Cyberjaya pada 25 dan 28 April.

“Siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan melibatkan penyebaran maklumat palsu yang mengaitkan Institusi Diraja dengan dakwaan tidak berasas, selain cubaan untuk mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.

“Tindakan ini berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah, mengundang ancaman terhadap keselamatan inidvidu terlibat serta melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi.

“SKMM menegaskan bahawa semua aduan akan disiasat berlandaskan undang-undang tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu terlibat.

“Setiap siasatan dijalankan secara profesional, berlandaskan prosedur yang adil serta mengikut peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998 dan merupakan langkah awal untuk mengumpul maklumat berkaitan,” kata SKMM.

Dalam pada itu, SKMM turut mengingatkan orang ramai bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja) bersifat mengancam, mengganggu atau menceroboh privasi individu adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada.

BACA: Stesen Keretapi Kuala Lumpur Diiktiraf Kelima Tercantik Di Dunia

Sumber: SKMM

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.