Hujan Lebat Dijangka Landa Tujuh Negeri Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di tujuh negeri sehingga jam 9 malam ini.
Menerusi kenyataan di Facebook, MetMalaysia memaklumkan keadaan hujan lebat akan melanda daerah Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling dan Kulim di Kedah.
Di Pulau Pinang pula, ia melibatkan daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah. Selain itu, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak turut mengalami cuaca sama.
Beralih ke Pahang, hujan lebat dijangka akan melanda daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Kuantan dan Pekan.
BACA: 10 Negeri Diramal Ribut Petir, Hujan Lebat Petang Ini
Manakala di negeri Selangor, ia hanya melibatkan daerah Hulu Selangor. Di Johor pula, hanya dua daerah yang terlibat iaitu Mersing dan Kota Tinggi.
Di samping, cuaca buruk juga diramal akan berlaku di Sarawak yang melibatkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Kapit (Song dan Belaga), Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Subis, Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata MetMalaysia.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia