Siakap Keli
drake passage
Kredit: MetMalaysia

Gempa Bumi 7.5 Magnitud Gegar Drake Passage, Chile Keluarkan Amaran Tsunami

Gempa Bumi 7.5 Magnitud Gegar Drake Passage, Chile Keluarkan Amaran Tsunami

Pihak berkuasa Chile telah mengeluarkan amaran tsunami di wilayah paling selatan negara itu selepas gempa bumi 7.5 magnitud melanda Drake Passage, lapor AFP.

Drake Passage merupakan laluan laut yang memisahkan Amerika Selatan dan Antartika.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa itu berlaku pada kedalaman cetek 10 kilometer. Ia juga terletak 219 kilometer dari bandar Ushuaia di Argentina dan jarak yang sama dari bandar Puerto Williams di Chile.

Beberapa gegaran susulan yang lebih kecil turut direkodkan.

Chile dan Argentina juga telah mengambil tindakan dengan memindahkan penduduk yang berada berhampiran pantai.

“Kami menyeru penduduk berhampiran pantai di seluruh wilayah Magallanes agar berpindah,” kata Presiden Chile, Gabriel Boric di X.

Perkhidmatan kecemasan SENAPRED juga telah mengarahkan penduduk di kawasan berdekatan Antartika untuk berpindah.

Sementara itu, pihak berkuasa di wilayah Tierra del Fuego di Selatan Argentina berkata gempa bumi itu dirasai terutamanya di Ushuaia. Mereka turut menggesa penduduk untuk mengosongkan kampung berhampiran Selat Beagle.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kerosakan atau kecederaan yang dialami oleh penduduk.

Tentera Laut Chile pula berkata ombak kesan dari gegaran dijangka sampai ke pantai Semenanjung Antartika dan hujung Amerika Selatan dalam beberapa jam akan datang dengan anggaran ketinggian antara 0.3 meter dan 1 meter.

Dalam pada itu, video yang dimuat naik pengguna di X menunjukkan rakyat Chile berpindah dari rumah mereka di Puerto Williams. Ia merupakan bandar yang paling hampir dengan pusat gempa.

Malah, ada yang mendaki bukit untuk menyelamatkan diri.

BACA JUGA: Gempa Bumi Bermagnitud 6.2 Gegarkan Istanbul, Cetus Panik Meluas

Menurut AFP, Chile adalah salah satu negara yang paling terjejas oleh gempa bumi.

Tiga plat tektonik berkumpul dalam wilayahnya iaitu Nazca, Amerika Selatan dan plat Antartika.

Pada tahun 1960, bandar Valdivia di selatan Chile telah musnah akibat gempa bumi berukuran 9.5 magnitud. Bencana itu dianggap paling kuat pernah direkodkan dan mengorbankan 9,500 orang.

Gempa bumi 8.8 magnitud juga pernah berlaku di luar pantai tengah Chile pada 2010 sehingga mencetuskan tsunami. Lebih 520 orang dilaporkan terkorban dalam tragedi terbabit.

Sumber: AFP

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.