United Belasah Athletic Bilbao, Sebelah Kaki Ke Final Liga Europa
BILBAO — Kelab Gergasi Inggeris, Manchester United kini sebelah kaki ke final Liga Europa selepas mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Athletic Bilbao dalam aksi separuh akhir pertama di San Mames awal pagi tadi, lapor AFP.
Di sebalik musim Liga Perdana Inggeris yang mengecewakan, skuad kendalian Ruben Amorim tampil berbeza di pentas Eropah.
Dalam perlawanan pagi tadi, Bruno Fernandes muncul wira The Red Devils selepas mencetak dua jaringan.
Harry Maguire Ke Harry Potter?

Sementara itu, persembahan Harry Maguire turut mencuri tumpuan ramai apabila memberi umpan magis untuk memberikan gol pembukaan kelab itu menerusi jaringan Casemiro pada minit ke-30.
Pengendali United, Ruben Amorim mengakui keberadaan pemain-pemain berpengalaman seperti Maguire menjadi kunci kemenangan pasukannya.
Tambah Amorim, dia menyifatkan Maguire sebagai sesuatu yang semula jadi (big game player), lebih-lebih lagi dalam perlawanan besar.
“Mereka adalah pemain antarabangsa, berpengalaman. Mereka tahu bila perlu bangkit dan tunjukkan kualiti mereka. Itu sebab mereka berada di kelab ini,” kata Amorim dalam sidang media selepas perlawanan.
Sebelum ini, Bek tengah England itu turut menjadi wira ketika menewaskan Lyon dalam suku akhir dan menampilkan aksi konsisten sepanjang musim ini.
United Belasah Bilbao Di Laman Sendiri

Seawal babak pertama, United mula menguasai perlawanan selepas gol pembukaan menerusi Casemiro.
Situasi semakin buruk buat tuan rumah apabila pemain pertahanan, Daniel Vivian dilayangkan kad merah kerana mengasari Rasmus Hojlund dalam kotak penalti.
Fernandes tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua pelawat. Dalam pada itu, gol ketiga hadir hasil serangan balas pantas yang sekali lagi disudahkan oleh kapten United itu.
Walau bagaimanapun, Amorim menyatakan bahawa mereka tidak memandang rendah kelab dari Sepanyol itu menjelang aksi timbal balik di Old Trafford minggu depan.
“Kami tidak boleh terlalu selesa. Tiada kelebihan gol tempat lawan, dan perlawanan akan jadi sangat sukar. Pemain perlu ingat 20 minit pertama hari ini, di mana kami bergelut,” katanya lagi.
Sumber: AFP via France24