Siakap Keli
13 Pilihan Halatuju Selepas SPM: Mana Sesuai Untuk Anda?
Gambar AI

13 Halatuju Selepas SPM: Sambung Belajar Atau Kerja

13 Halatuju Selepas SPM: Sambung Belajar Atau Kerja

Selepas bertahun-tahun menimba ilmu, menghadiri kelas seawal pagi, menyiapkan tugasan demi tugasan, dan melalui pelbagai ujian sepanjang alam persekolahan, akhirnya anda telah berjaya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Apa tidaknya, SPM boleh dianggap sebagai satu penanda aras yang penting dalam sistem pendidikan negara.

Kini tibalah masa untuk anda melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan iaitu membuat satu keputusan besar yang bakal mencorakkan masa depan anda.

Keputusan ini bukan sekadar memilih tempat untuk melanjutkan pelajaran, tetapi ia merangkumi pemilihan peluang kerjaya serta corak kehidupan yang anda akan lalui dalam jangka panjang.

Pilihan yang dibuat pada saat ini boleh mempengaruhi jenis pekerjaan yang akan anda ceburi, gaya hidup yang anda bina, malah tahap kepuasan dan kejayaan dalam hidup anda kelak.

Oleh itu, pemahaman yang jelas terhadap setiap pilihan yang ada adalah sangat penting agar anda tidak hanya mengikut arus atau tekanan sekeliling.

Ia juga membantu anda membuat keputusan yang benar-benar sejajar dengan minat, keupayaan, dan hala tuju masa depan anda.

Bagi membantu anda menilai mana pilihan yang tersedia dan sesuai untuk anda, berikut kami kongsikan 13 halatuju utama yang boleh dipertimbangkan selepas tamat SPM:

1. Program Matrikulasi

Program Matrikulasi merupakan program pra-universiti yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini khas untuk pelajar lepasan SPM yang cemerlang dalam aliran sains dan perakaunan.

Tempoh pengajian adalah satu atau dua tahun. Ia bergantung kepada jurusan dan jenis program (satu tahun untuk program satu penggal, dan dua tahun untuk program dua penggal).

Matrikulasi menawarkan kurikulum intensif yang menumpukan kepada bidang-bidang utama seperti biologi, fizik, kimia, matematik, dan ekonomi.

Ini bagi membolehkan pelajar bersedia untuk memasuki universiti awam. Kelebihan program ini ialah yuran yang sangat rendah, elaun bulanan, serta peluang tinggi untuk diserap masuk ke IPTA dalam pelbagai bidang profesional.

Ia sesuai untuk pelajar yang ingin menyambung pengajian dalam masa yang singkat dan telah mempunyai sasaran yang jelas dalam bidang pengajian tinggi mereka.

2. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)

STPM atau “Form 6” merupakan satu laluan akademik yang diiktiraf bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Ia adalah setaraf dengan A-Level dan membolehkan pelajar menyambung pengajian ke universiti dalam dan luar negara.

Tempoh pengajian adalah sekitar 1.5 tahun dan dijalankan di sekolah menengah yang ditetapkan. STPM sesuai untuk pelajar yang mempunyai daya tahan mental yang tinggi.

Ini kerana ia menuntut komitmen yang besar kerana jarak pengajian yang pendek dan subjek pengajian yang agak susah.

Kos yang rendah dan fleksibiliti dalam memilih kombinasi subjek menjadikan STPM antara pilihan terbaik untuk pelajar yang merancang untuk menyambung pengajian ke pelbagai jurusan di universiti awam.

Majoriti mereka yang menjejak kaki ke universiti adalah terdiri dari kalangan pelajar STPM.

3. Program Asasi / Foundation

Selain itu, anda yang mendapat keputusan SPM yang cemerlang boleh memilih untuk ke program asasi atau foundation. Program ini adalah program pra-universiti yang ditawarkan oleh universiti awam dan swasta di Malaysia.

Program asasi biasanya berdurasi selama satu tahun dan dirangka untuk menyediakan pelajar dengan asas pengetahuan dalam bidang tertentu.

Bidang tersebut adalah seperti bidang perubatan, kejuruteraan, sains komputer, undang-undang, dan sains sosial.

Kelebihan utama program ini ialah pelajar yang berjaya menamatkannya dengan cemerlang biasanya diberi keutamaan untuk melanjutkan pelajaran ke program ijazah dalam universiti yang sama.

Program ini sangat sesuai untuk pelajar yang sudah menetapkan hala tuju mereka dan ingin masuk ke bidang pengajian tertentu dengan cepat.

Ia juga memberi peluang kepada pelajar untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di universiti sebelum melangkah ke peringkat ijazah sebenar.

4. Program Diploma

Program diploma juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mendalami bidang tertentu secara teori dan praktikal.

Tempoh pengajian bagi diploma adalah sekitar dua hingga tiga tahun, bergantung kepada kursus dan institusi pengajian.

Program ini ditawarkan oleh politeknik, kolej komuniti, institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Kelebihan utama program diploma ialah ia melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang boleh terus digunakan dalam pasaran kerja, di samping membuka ruang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Ramai majikan juga mengiktiraf graduan diploma kerana mereka dianggap lebih bersedia dari segi kemahiran sebenar berbanding mereka yang hanya mempunyai kelulusan akademik.

Program ini sesuai untuk pelajar yang ingin memulakan kerjaya lebih awal, membina pengalaman kerja dan pada masa yang sama masih berpeluang menyambung pengajian.

 Mana Yang Sesuai Untuk Anda? Ketahui 13 Pilihan Halatuju Selepas SPM

5. A-Level / Program Pra-U Antarabangsa

Bagi pelajar yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara atau menyasarkan universiti-universiti bertaraf dunia pula, program pra-universiti antarabangsa seperti A-Level, International Baccalaureate (IB), Australian Matriculation (AUSMAT) dan Canadian Pre-University (CPU) adalah pilihan yang terbaik.

Program-program ini menawarkan pendekatan pembelajaran yang luas, fleksibel dan bertaraf global.

Sebagai contoh, A-Level memberi kebebasan kepada pelajar memilih subjek yang relevan dengan bidang yang ingin diceburi.

Manakala IB pula membentuk pelajar secara holistik dari segi akademik, sahsiah dan kemahiran berfikir kritikal.

Program antarabangsa ini sesuai untuk pelajar yang bermotivasi tinggi, cemerlang dari segi akademik, dan bercita-cita untuk menimba ilmu di peringkat global.

Walaupun kos pengajian lebih tinggi, ia merupakan pelaburan jangka panjang yang membuka banyak pintu kejayaan.

BACA : Jimat Ruang: Teknik Pack Barang Untuk Luggage 7kg

6. Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET)

Antara lain, TVET merupakan laluan pendidikan yang memberi penekanan kepada kemahiran teknikal dan praktikal, sesuai untuk pelajar yang mempunyai kecenderungan kepada bidang kemahiran seperti automotif, elektrik, elektronik, kulinari, jahitan, teknologi komputer, dan pelbagai lagi.

Institusi yang menawarkan TVET adalah seperti GiatMARA, ILP, IKBN, Politeknik dan Kolej Komuniti.

TVET menawarkan peluang kepada pelajar untuk memperoleh sijil kemahiran yang diiktiraf industri serta peluang pekerjaan yang tinggi dalam sektor perkilangan, pembinaan, teknologi dan perkhidmatan.

Kerajaan Malaysia kini memfokuskan kepada pembangunan ekonomi berasaskan teknologi dan kemahiran, sekaligus menjadikan graduan TVET mempunyai kelebihan dalam pasaran kerja.

Laluan ini sesuai untuk pelajar yang ingin memperoleh kemahiran professional, bersedia untuk bekerja lebih awal, dan berminat menjadi sebahagian daripada tenaga kerja mahir negara.

7. Terus Bekerja atau Menimba Pengalaman

Bekerja selepas SPM bukanlah sesuatu yang asing, terutamanya bagi pelajar yang ingin membantu keluarga, menimba pengalaman atau mengumpul modal sebelum menyambung pengajian.

Ada yang memilih untuk bekerja secara sambilan, menceburi pekerjaan teknikal, atau mengambil kursus jangka pendek sambil bekerja.

Pengalaman bekerja awal ini boleh memberi nilai tambah dari segi komunikasi, tanggungjawab, pengurusan masa dan daya tahan diri.

Ia juga membantu pelajar mengenal pasti minat dan hala tuju sebenar sebelum membuat keputusan besar tentang pengajian.

Laluan ini sesuai untuk mereka yang ingin berdikari, belajar dari pengalaman hidup sebenar, dan bersedia untuk menyusun semula perancangan pendidikan mereka dengan lebih matang.

8. Menceburi Dunia Keusahawanan

Di samping itu, dalam era digital yang serba pantas ini ramai anak muda mula menceburi dunia keusahawanan seawal usia remaja.

Anda boleh memulakan perniagaan kecil-kecilan seperti menjual produk, menawarkan servis kreatif, menjadi ejen dropship, atau membina jenama sendiri dengan hanya bermodalkan kemahiran asas.

Keusahawanan bukan sahaja membuka peluang pendapatan, malah membentuk kemahiran kepimpinan, pemikiran strategik dan ketahanan mental.

Bagi pelajar yang berminat dalam bisnes, kreatif, dan sanggup menghadapi risiko serta cabaran, dunia keusahawanan boleh menjadi platform terbaik untuk membina kerjaya sendiri.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan dan geran untuk usahawan muda yang serius mengembangkan perniagaan mereka.

9. Menyertai Badan atau Unit Beruniform

Satu lagi pilihan yang semakin mendapat sambutan ialah menyertai badan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Pertahanan Awam, dan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA). Ianya sesuai bagi pelajar yang berjiwa kental, berdisiplin tinggi dan patriotik.

Menyertai pasukan beruniform akan memberi peluang untuk mereka  membina kerjaya yang stabil, mencabar dan penuh penghormatan.

Institusi ini juga menawarkan peluang kenaikan pangkat, pendidikan lanjut, dan kelebihan dari segi kebajikan serta perlindungan.

Laluan ini sesuai untuk pelajar yang sukakan cabaran, mampu bekerja dalam tekanan dan ingin berkhidmat kepada negara.

10. Permohonan Melalui SPA9

Selain itu, pilihan popular yang lain untuk pelajar lepasan SPM ialah memohon pekerjaan dalam sektor kerajaan melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA9). Pelajar lepasan SPM boleh memohon jawatan seperti Pembantu Tadbir, Pembantu Kesihatan Awam, Pembantu Penguatkuasa dan lain-lain jawatan kumpulan sokongan.

Kelebihan bekerja dalam sektor awam termasuk faedah kesihatan, pencen, peluang kenaikan pangkat serta kestabilan kerja. Bagi pelajar yang mahu bekerja terus selepas SPM dan mencari kestabilan jangka panjang, SPA9 adalah pintu masuk yang sesuai.

11. Institut Pendidikan Guru (IPG) 

Jika anda mempunyai minat untuk mendidik dan berbakti kepada masyarakat, kerjaya sebagai seorang pendidik adalah pilihan yang terbaik.

Dengan menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG), anda boleh mengikuti program latihan untuk menjadi seorang guru yang berkelayakan.

Walaupun kerjaya ini penuh dengan cabaran dan tanggungjawab yang besar, kepuasan yang diperoleh dari melihat kejayaan anak didik sangat berharga.

Anda berpeluang untuk memberi sumbangan kepada pembangunan negara dengan mencorakkan generasi muda yang cemerlang.

12. Kursus Ketenteraan dan Akademi Laut Malaysia (ALAM)

Selain itu, bagi mereka yang mempunyai semangat kepahlawanan dan kecintaan terhadap cabaran fizikal, menceburi bidang ketenteraan adalah satu pilihan yang menarik. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menawarkan pelbagai program pengajian yang boleh membuka peluang kepada anda untuk memasuki dunia ketenteraan.

Di sini anda akan dilatih untuk menjadi anggota tentera yang berdedikasi.

Selain itu,  Akademi Laut Malaysia (ALAM) menyediakan kursus yang menyeluruh bagi mereka yang bagi mereka yang berminat dengan dunia maritim dan pekerjaan di laut.

Individu yang berdisiplin tinggi dan tahan lasak sangat sesuai menyertai sektor perkapalan ini.

13. Kursus Penerbangan 

Bagi mereka yang mempunyai impian untuk terbang tinggi di angkasa, kursus penerbangan adalah satu laluan yang berpotensi.

Program ini menawarkan peluang kepada individu untuk menjadi juruterbang, pramugara, pramugari ataupun bekerja dalam pelbagai posisi teknikal yang terlibat di lapangan terbang.

Kerjaya dalam penerbangan bukan sahaja menawarkan pengalaman yang mencabar dan mendebarkan, tetapi juga menjanjikan gaji yang kompetitif serta peluang untuk melancong ke seluruh dunia.

Jika anda seorang yang berani dan ingin merasai kebebasan di udara, ini adalah pilihan yang tepat.

Oleh itu, SPM bukanlah penamat tetapi merupakan satu permulaan baharu ke arah kehidupan dewasa yang lebih mencabar.

Sama ada anda memilih untuk belajar, bekerja atau berniaga, yang penting ialah membuat pilihan berdasarkan potensi dan matlamat hidup anda.

Jangan takut untuk mencuba dan jangan bandingkan perjalanan anda dengan orang lain. Kejayaan bukan ditentukan oleh laluan, tetapi oleh usaha dan kesungguhan anda.

BACA : Cara Bantuan Pendidikan Zakat Selangor & Syarat Kelayakan

Sumber : infoupu, majikan.my

suhaila

live your best life

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.