India Laksana Latihan Persediaan Serangan Berskala Besar Esok
India dilaporkan bakal melaksanakan satu latihan keselamatan berskala besar melibatkan 259 lokasi di seluruh negara pada esok, lapor India Today.
Ia merupakan latihan pertahanan awam paling besar sejak Perang India-Pakistan pada tahun 1971.
Difahamkan, latihan ini bertujuan sebagai langkah kesiapsiagaan awam menghadapi situasi kecemasan seperti serangan udara dan gangguan elektrik.
Selain itu, latihan ini diadakan ketika ketegangan antara India dan Pakistan semakin memuncak, susulan serangan pengganas di Pahalgam, Jammu dan Kashmir pada 22 April lalu yang mengorbankan 26 nyawa.
Perdana Menteri Narendra Modi sebelum ini menyatakan bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam serangan tersebut akan “diburu hingga ke hujung dunia” dan diberikan hukuman yang “melangkaui imaginasi mereka”.
Kenyataan itu dibalas Pakistan dengan amaran bahawa “tindakan balas mereka akan pantas dan lebih hebat”.
Fokus latihan: Tindak balas awal ketika serangan
Latihan ini memberi tumpuan kepada senario-senario seperti serangan udara, pemadaman elektrik, pemindahan besar-besaran, serta penggunaan struktur perlindungan sementara seperti laluan bawah tanah dan ruang bawah bangunan.
Pasukan Pertahanan Awam, Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) serta Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri (SDRF) akan menggerakkan anggota mereka untuk melatih orang awam menghadapi situasi genting.
Pada 5 Mei, Kementerian Dalam Negeri India mengeluarkan arahan rasmi kepada semua negeri untuk menjalankan “latihan olok-olok” secara serentak.
Sehari sebelumnya, Setiausaha Dalam Negeri, Govind Mohan, mempengerusikan satu mesyuarat penting melibatkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua Pertahanan Awam dari seluruh India bagi menyelaraskan latihan ini.
Sebanyak 244 daerah telah dikenal pasti sebagai Daerah Pertahanan Awam, termasuk kawasan sensitif berhampiran sempadan seperti Rajasthan, Punjab, Jammu dan Kashmir, Bengal Barat dan timur laut India.
Di kawasan ini, latihan akan melibatkan simulasi pelbagai jenis bencana.
Pihak berkuasa turut menasihati orang ramai supaya menyimpan lampu suluh bersama bateri tambahan, lilin, air botol, makanan tahan lama, kit perubatan dan wang tunai, sebagai persediaan sekiranya berlaku gangguan sistem elektronik.
Sebahagian besar lokasi latihan, terutamanya lebih 100 kawasan yang dikenal pasti sangat sensitif, sedang diperiksa dari segi fungsi infrastruktur dan peralatan pertahanan awam.
Apa yang akan berlaku esok?
Beberapa negeri seperti Delhi, Punjab dan Bengal Barat mempunyai rangkaian sukarelawan pertahanan awam yang aktif dan biasa membantu dalam kawalan lalu lintas serta pengurusan orang ramai.
Sistem pertahanan awam di India beroperasi secara sukarela dengan sokongan sejumlah kecil kakitangan tetap dan akan dipertingkatkan semasa kecemasan.
Latihan juga melibatkan polis, bomba, hospital serta pelajar sekolah.
Di Kashmir, pelajar telah diajar tentang isyarat siren dan tindakan ketika pengeboman.
Di Lucknow, sukarelawan menjalani latihan menyelamatkan mangsa pengsan, memadam api menggunakan selimut dan membawa ‘mangsa’ ke tempat selamat.
Senario serangan udara dan kod isyarat
Semasa latihan, siren serangan udara akan dibunyikan.
Orang awam akan diarahkan untuk berlindung di tempat selamat, seperti ruang bawah tanah atau laluan bawah tanah.
Siren kedua akan dibunyikan sebagai tanda ‘selamat’, dan peserta perlu membantu mangsa atau keluar dari tempat perlindungan.
Setiap unit yang terlibat akan mengikuti kod isyarat dan garis masa tertentu yang ditetapkan untuk menyelaras tindak balas kecemasan.
Langkah keselamatan dipertingkatkan di ibu negara
Susulan arahan kementerian, kawalan keselamatan di New Delhi dipertingkat menjelang latihan esok.
Polis melakukan rondaan siang dan malam, terutamanya di kawasan tumpuan pelancong seperti India Gate, Connaught Place, Janpath dan Gole Market.
Pemeriksaan kenderaan turut dipertingkat bagi mengesan sebarang unsur mencurigakan. Perhatian khusus diberikan kepada kenderaan sewa atau tidak berdaftar.
BACA: Landasan LTSAH Ditutup Sementara Akibat Insiden Pesawat
BACA: Insiden Kemalangan Pesawat Hawk TUDM Semasa Pendaratan – TUDM