India Lancarkan Serangan Ke Atas Pakistan
India melepaskan peluru berpandu ke arah wilayah Pakistan pada awal Rabu dan setakat ini lapan orang disahkan maut, lapor AFP.
Kerajaan India berkata mereka telah melakukan ‘serangan tepat di kem pengganas’ di sembilan kawasan di Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Tentera India dalam satu video yang disiarkan di X pula berkata ‘keadilan telah ditegakkan’.
Serangan itu berlaku beberapa hari selepas India mendakwa Pakistan bertanggungjawab ke atas serangan maut di bahagian wilayah ditadbirnya.
Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif berkata lapan orang termasuk seorang kanak-kanak telah terbunuh dalam serangan itu.
“Tindakan balas sudah bermula. Kami tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan masalah,” katanya kepada AFP.
BACA: India Laksana Latihan Persediaan Serangan Berskala Besar Esok
Beliau juga menuduh Perdana Menteri India, Narendra Modi melancarkan serangan untuk menaikkan populariti dalam negaranya.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pula menyifatkan serangan India sebagai tindakan pencerobohan keji yang tidak terlepas dari hukuman.
Dalam pada itu, India telah dijangka bertindak balas secara ketenteraan susulan serangan ke atas pelancong di Kashmir yang ditadbirnya pada 22 April. Mereka mendakwa serangan itu dilakukan oleh satu kumpulan yang berpangkalan di Pakistan.
Serangan di kawasan tumpuan pelancong, Pahalgam itu menyebabkan 26 orang terbunuh. Bagaimanapun, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab.
Ia menyemarakkan api kemarahan kedua-dua negara dan mencetuskan siri perbalahan.
BACA JUGA: India Arah Warga Pakistan Tinggalkan Negara Sebelum 29 April
Pakistan menafikan dakwaan terbabit dan kedua-dua pihak telah berbalas tembakan setiap malam sejak 24 April di sepanjang Garisan Kawalan (LoC).
Selama beberapa hari, masyarakat antarabangsa telah menyeru agar Pakistan dan India berundur dari ambang perang.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata beliau berharap pertempuran itu cepat berakhir.
Kedutaan India di Washington pula berkata Penasihat Keselamatan Negara New Delhi, Ajit Doval telah memberi taklimat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio selepas serangan itu.
“Saya memantau keadaan antara Pakistan dan India dengan teliti,” katanya.
Sumber: AFP