Siakap Keli
Kredit: Bay Ismoyo/AFP

Indonesia Akan Jadi Tempat Ujian Untuk Vaksin TB Bill Gates

Indonesia Akan Jadi Tempat Ujian Untuk Vaksin TB Bill Gates

Indonesia akan menjadi tempat ujian untuk vaksin tuberkulosis (TB) yang sedang dibangunkan oleh pengasas Microsoft, Bill Gates.

Memetik laporan CNN Indonesia, perkara itu dimaklumkan Presiden Prabowo Subianto ketika menerima kunjungan Bill Gates di Istana Presiden Jakarta pada Rabu.

Prabowo berkata sekitar 100,000 orang menjadi mangsa TB setiap tahun dan azamnya adalah untuk mengurangkan jumlah kematian akibat penyakit itu.

“Beliau sedang membangunkan vaksin TB untuk dunia, Indonesia akan menjadi salah satu tempat di mana ia akan diuji,” kata Prabowo.

Menurut beliau, Gates menunjukkan komitmen secara berterusan dalam membantu bidang perubatan Indonesia.

Kunjungan Gates hari ini disambut Prabowo di Istana Merdeka, Jakarta. Turut mengiringi, Menteri Pelaburan, Rosan Perkasa Roeslani, Menteri Komunikasi dan Digital, Meutya Viada Hafid dan Menteri Kesihatan, Budi Gunawan. Setiausaha Kabinet, Leftenan Kolonel, Teddy Indrawijaya dan Menteri Setiausaha Kerajaan Negeri, Prasetyo Hadi turut sama hadir mengiringi.

Menurut laporan detik, Indonesia telah menerima suntikan dana geran berjumlah lebih USD159 juta sejak 2009.

“Saya memaklumkan kepada semua bahawa anda telah membantu kami secara langsung iaitu dalam bentuk sumbangan langsung. Lebih daripada USD159 juta diterima sejak 2009,” ujar Prabowo.

Beliau berkata, dana tersebut bertujuan membiayai sektor perubatan, terutamanya vaksin.

“Kebanyakan dana adalah untuk perubatan, terutamanya bantuan beliau dalam perkara yang strategik seperti vaksin, vaksin polio iaitu sebanyak IDR1.3 trilion. Kini, kita, Biofarma, merupakan salah satu daripada pengeluarnya. Kita mengeluarkan 2 bilion dos vaksin setiap tahun dan telah digunakan di 42 negara serata dunia. Seramai 902 juta orang telah menggunakannya,” tambahnya.

Mendedahkan pemilihan Indonesia sebagai salah satu tempat menghasilkan vaksin TB, Prabowo turut berkata, kes TB di negara tersebut masih agak teruk dan membawa maut.

“Kita maklum bahawa TB telah mengorbankan begitu banyak nyawa, sehingga hampir 100,000 orang mangsa meninggal dunia setiap tahun. Kami bertekad untuk mengurangkannya dan beliau telah menunjukkan komitmennya dalam membantu kami bagi bidang tersebut. Malah, beliau juga sedang berusaha menghasilkan vaksin malaria,” jelas Prabowo lagi.

Sumber: CNN Indonesia, detik

BACA: 26 Terkorban Dalam Serangan Udara India

BACA: Jet Pejuang Amerika Syarikat Terhempas Di Laut Merah

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.