Siakap Keli
monsun barat daya
Kredit: Bernama

Monsun Barat Daya Dijangka Bermula 10 Mei – MetMalaysia

Monsun Barat Daya Dijangka Bermula 10 Mei – MetMalaysia

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran permulaan Monsun Barat Daya bermula 10 Mei hingga September ini.

Menerusi kenyataan media Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip yang dimuat naik di laman Facebook, pembentukan awan hujan akan berkurangan sepanjang tempoh ini.

“Sepanjang musim ini, kadar kelembapan udara kelazimannya adalah rendah menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat. Sehubungan itu, negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut memaklumkan fenomena hujan lebat masih berpotensi berlaku di beberapa kawasan.

“Walau bagaimanapun, hujan lebat beserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi berikutan kehadiran fenomena garis badai (squall line),” tambahnya.

BACA: Pergolakan India-Pakistan, Kerajaan Sedia Import Beras Dari Negara Serantau – Mohamad

Mengulas lanjut, Hisham menerangkan fenomena garis badai merupakan barisan ribut petir yang terbentuk apabila berlaku penumpuan angin. Fenomena tersebut mampu berlarutan sehingga beberapa jam.

Dalam kenyataan yang sama, beliau memaklumkan kemuncak monsun berlaku pada Julai hingga September. Berikutan itu, kejadian jerebu setempat dan rentas sempadan berpotensi berlaku jika berlaku pembakaran terbuka yang tidak terkawal.

“Oleh itu, sebarang pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan bencana jerebu yang akan mencemarkan alam sekitar negara. Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” ujarnya.

Terdahulu, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang hanya melibatkan daerah Langkawi, Kedah sehingga jam 1 tengah hari tadi. Sementara itu, sebahagian kecil kawasan di pantai barat Semenanjung dijangka menerima hujan sejak awal pagi hingga jam 10 pagi sahaja.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

BACA: Doktor Kongsi Bahaya TB, Kena Buat Apa Untuk Cegah

BACA: Anak & Isteri Dijangkiti TB, Lelaki Kongsi Pengalaman Pahit Sekeluarga

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.