Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada 27 Oktober 2026 dan berterusan sehingga Mac 2027.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan mengenai perkara tersebut menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Apa yang akan berlaku ketika Monsun Timur Laut?
Menurut MetMalaysia, semasa MTL, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah timur laut.
Dalam pada itu, semasa fasa awal MTL dari November 2026 hingga Januari 2027, sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku.

Keadaan itu berpotensi mengakibatkan kejadian banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah.
Selain itu, tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta meningkatkan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan.
“Menjelang fasa akhir MTL dari Januari hingga Mac 2027, taburan hujan dijangka berkurangan, terutamanya di negeri-negeri utara Semenanjung dan Sabah.
“Keadaan ini akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlakunya gelombang haba yang lebih ekstrem berikutan pengaruh fenomena El Niño sangat kuat (Super) yang sedang berlaku,” ujarnya.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca yang berlaku semasa MTL 2026/2027.
“Sentiasa peka kepada maklumat, nasihat ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca media sosial rasmi dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638,” kata MetMalaysia.
