4 Penjenayah Terkenal Pernah Dipenjara Di Alcatraz
Penjara Alcatraz, satu nama yang sudah tidak asing lagi bagi para penjenayah, Alcatraz semakin dikenali dunia apabila beberapa filem dan drama bersiri dihasilkan.
Mengambil inspirasi daripada kisah benar banduan di sana, beberapa filem dan drama bersiri tentang Alcatraz turut berjaya merangkul pelbagai anugerah. Malah, untuk pengetahuan pembaca, penjara Azkaban dalam filem Harry Potter mengambil Alcatraz sebagai sumber inspirasi.
Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengarahkan agar penjara itu dibina dan dibuka semula. Ia mendapat pelbagai reaksi bukan sahaja di negara itu tetapi di seluruh dunia.
Walaupun sudah ditutup sejak sekian lama, penjara ini boleh dikatakan menjadi salah satu bangunan ikonik yang menjadi perhatian ramai.
Beroperasi dari 1934 hingga 1963, penjara terbabit kini menjadi salah satu tempat tumpuan para pelancong ke Amerika Syarikat. Apakah yang membuatkan bekas penjara ini menjadi begitu terkenal? Siapakah penjenayah yang terlalu bahaya sehingga perlu dipenjara di sini? Apakah jenayah yang menyebabkan mereka dihumban ke pulau terpencil ini?
Bagi menjawab segala persoalan, SK kongsikan sedikit kisah tentang lima orang penjenayah terkenal yang pernah dipenjara di Alcatraz. Artikel ini bertujuan mengimbas kembali sejarah Alcatraz dan kisah banduan yang terkenal dalam sejarah jenayah Amerika Syarikat.
1. Al Capone “Scarface”
Al Capone atau nama sebenarnya Alphonse Capone merupakan ketua mafia Chicago yang dipenjara selama 11 tahun disebabkan pengelakan cukai. Al Capone mendapat gelaran “Scarface” apabila tercedera di wajahnya akibat pergaduhan antara kumpulan samseng.
Al Capone pada asalnya dimasukkan ke penjara persekutuan. Namun kemudiannya dipindahkan ke Alcatraz berikutan dakwaan masih menjalankan operasi jenayah dari penjara. Dengan kemahirannya berpolitik, Al Capone sentiasa berjaya ‘memenangi’ hati sesiapapun yang ada di sekelilingnya termasuk warden penjara.
2. George “Machine Gun” Kelly
George Kelly Barnes lahir pada 18 Julai 1895 dalam kalangan keluarga yang berada. Biarpun begitu, dia dibesarkan dalam keluarga yang berpegang kepada nilai tradisional. Demi cinta, Kelly bertindak secara melulu berhenti pengajian tingginya dan mengahwini kekasih hatinya.
Bagi menampung kehidupan selepas berpisah dengan isteri, Kelly mula terjebak dengan jenayah seperti menjual arak secara haram. Setelah beberapa kali ditahan, Kelly mula mengenali Kathryn Thorne yang akhirnya dijadikan peneman hidupnya.
Seperti juga Kelly, Kathryn turut mempunyai rekod jenayah yang menonjol. Bagi menaikkan nama Kelly, Kathryn menghadiahkan sepucuk mesingan dan memaksa Kelly membuat latihan menggunakan senjata tersebut.
Mengumpul kelongsong peluru, Kathryn mengedarkan kelongsong-kelongsong peluru itu di pertemuan-pertemuan bawah tanah. Kelongsong peluru tersebut dijadikan ‘buah tangan’ daripada suaminya, “Machine Gun” Kelly kepada kenalan.
Pada tahun 1933, kedua pasangan suami isteri ini merancang untuk menculik taikun minyak, Charles Urschel. Biarpun penculikan tersebut gagal dan mereka berjaya mendapat wang tebusan yang diminta, Kelly akhirnya tertangkap dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Berikutan ancamannnya untuk melarikan diri dari penjara dan menyelamatkan isterinya, Kelly dipindahkan ke Alcatraz, menjadi antara penjenayah terawal dipenjara di sana.
3. Alvin “Creepy” Karpis
Alvin Francis Karpowicz mendapat gelaran Alvin “Creepy” Karpis disebabkan senyumannya yang menyeramkan. Dibesarkan di Wichita, Kansas, Karpis mula terjebak dalam jenayah seawal 10 tahun. Semakin terkenal, dia dikehendaki apabila terlibat dalam rompakan, penculikan dan pembunuhan ketika menjadi Ketua Kumpulan Samseng Barker-Karpis. Karpis dipenjarakan di Alcatraz dengan hukuman penjara seumur hidup. Biarpun terkenal sebagai banduan paling lama berada di Alcatraz, Karpis tidak pernah terlibat dalam percubaan melarikan diri dari penjara.
4. Robert Stroud – “Birdman of Alcatraz”
Robert Stroud dikehendaki kerana membunuh seorang bartender yang didakwa tidak membayar pelacur miliknya ketika dia menjadi bapa ayam di Alaska. Biarpun telah dipenjara, keganasan Stroud tidak terhenti di situ sahaja. Dia juga pernah dihukum gantung kerana membunuh seorang pegawai penjara. Namun, disebabkan rayuan ibunya, hukuman Stroud dikurangkan kepada penjara seumur hidup dalam pengasingan. Berikutan sikapnya yang sukar dikawal dan berbahaya, Stroud dipindahkan untuk pengawasan ketat.
Sepanjang tempohnya di Leavenworth, Stroud dibenarkan membela seekor burung kenari tercedera yang dijumpainya . Izin yang diterima membantunya menghabiskan masa di penjara dengan memelihara hampir 300 ekor burung. Dua buah buku hasil penulisannya berkenaan burung kenari dan penyakit-penyakit spesis itu telah diterbitkan. Bukan itu sahaja, Stroud menghabiskan masanya dengan mengkaji tabiat dan fisiologi spesis tersebut. Malah, dia sempat membangunkan dan memasarkan ubat-ubatan untuk pelbagai jenis burung. Pemerhatian saintifiknya akhirnya diguna pakai dalam penyelidikan spesis kenari.
Namun, pelbagai ancaman dihamburkan terhadap banduan lain sehingga menyebabkan dia dipindah keluar dari Penjara Persekutuan Leavenworth dan ditempatkan di Alcatraz. Biarpun tidak dapat meneruskan minatnya membela burung kenari di Alcatraz, nama Stroud tetap kekal sebagai antara penjenayah terkenal di sana.
Sumber: Alcatraz History, The Mob Museum
BACA: Anak & Isteri Dijangkiti TB, Lelaki Kongsi Pengalaman Pahit Sekeluarga
BACA: Raja Thailand Terbangkan Boeing, Mendarat Di Landasan Paling Mencabar Dunia